Anda di sini

​​​​​​​Polis pantau pesisir Pulau Labuan kekang kemasukan jalan tikus

Advertisement
FARID
FARID

LABUAN: Polis Labuan membuat pemantauan 24 jam di sepanjang pesisir pantai Wilayah Persekutuan Labuan bagi mengekang kemasukan melalui jalan-jalan tikus sepanjang Kawalan Pergerakan Rentas Daerah di Sabah.

Ketua Polis Daerah WP Labuan Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata pemantauan dibuat untuk memastikan tiada pihak memasuki Labuan menggunakan laluan tikus bagi mengelak pemeriksaan Polis dan Kesihatan.

“Polis menasihatkan semua warga Labuan yang ingin melakukan pergerakan ke Sabah melalui jalan laut atau udara agar mendapatkan kebenaran wajib bertulis dari balai polis berhampiran,” katanya.

Sementara itu, kata Farid bagi perkhidmatan perlu (essential services) seperti keperluan bekalan makanan, perubatan, keselamatan dan seumpamanya adalah dibenarkan melakukan perjalanan rentas daerah di Sabah.

Tambah Farid, pergerakan kategori itu perlu membawa surat pengesahan arahan bertugas majikan untuk ditunjukkan kepada pihak berkuasa sekiranya diminta berbuat demikian.

Polis Labuan meminta penduduk pulau ini agar bersama-sama mengambil tanggungjawab mematuhi peraturan yang telah ditetapkan untuk memutuskan rantaian penularan Covid-19 di Labuan.

Sementara itu, Farid memaklumkan pihaknya telah meletakkan anggota di pintu-pintu masuk terminal dan lapangan terbang mengikut jadual pelayaran dan penerbangan sejak 27 September untuk membuat pemeriksaan.

Dengan meletakkan anggota di pintu masuk Labuan, jelas Farid tiada Sekatan Jalan Raya (SJR) dilakukan di sini.

  • oleh
  • Advertisement