Anda di sini

Patuhi larangan rentas daerah demi keselamatan kesihatan semua

Advertisement
JULIERAYNI.
JULIERAYNI.

LAHAD DATU: Larangan rentas daerah yang dikuatkuasakan kerajaan bagi membendung penularan COVID-19 mendapat respon positif masyarakat di sini.

Menurut Julierayni Abdul Salam, 37, tempoh pelaksanaan larangan itu sehingga 16 Oktober sahaja dan baginya ianya tiada masalah untuk dipatuhi.

"Tidak membuat sebarang perjalanan rentas daerah bagi saya baik kerana keperluan itu hanya untuk mereka yang bekerja dalam sektor perkhidmatan pengangkutan, pembekalan makanan dan keperluan runcit, penghantaran dan yang berkaitan.

"Saya yakin di kalangan mereka itu telah mendapat pelepasan khas untuk meneruskan perkhimatan mereka," katanya.

ADELAIDAH.
ADELAIDAH.

Julierayni berkata dari sisi negatifnya pula sekiranya wujud kes-kes terpencil seperti wujudnya kes mendesak keperluan membuat perjalanan rentas sempadan untuk memberi penghormatan terakhir kejadian kematian ahli keluarga, sakit, isteri melahirkan anak dan seumpamanya.

Katanya, kes seumpama ini memerlukan pengendalian mendesak dan perlu diselesaikan sebaiknya.

"Kes seumpama ini perlukan penyelesaian dan budi bicara segera untuk diselesaikan dan kepada mereka yang menjadi penentu pelepasan kes seumpama ini... anggaplah diri kita sendiri mengalami situasi itu dan ihsan bantuan tentunya amat dihargai," katanya.

Bagi Adelaidah Arshad, 38, larangan itu memberi isyarat kepada rakyat Sabah khususnya daerah di pantai timur ini bahawa kerajaan sedang memberi perhatian khusus untuk memulihkan keadaan keselamatan kesihatan di sini.

"Saya berharap semua pihak mematuhi larangan ini dan kita di zon merah perlu bekerjasama dengan kerajaan agar rantaian COVID-19 dapat diputuskan.

"Saya juga berharap tindakan yang lebih tegas dikenakan sebagai pengajaran kepada mereka masih terlalu berdegil untuk mematuhi arahan kerajaan," katanya.

Kelmarin, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan melaksanakan Kawalan Rentas Daerah di seluruh negeri Sabah berkuat kuasa pukul 12.01 malam 3 Oktober hingga 16 Oktober depan bagi memutuskan penularan COVID-19 yang meningkat di sini.

  • oleh
  • Advertisement