Anda di sini

Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada guna

Advertisement
 

KUCHING: Masyarakat perlu menganggap diri sendiri sebagai petugas barisan hadapan dan membudayakan amalan norma baharu dalam usaha membantu kerajaan memerangi penularan COVID-19.

Pengerusi Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) Sarawak Dr Mohd Naqib Ahmad Napis berkata, sehingga kini lebih 30 juta kes dilaporkan dengan jumlah kematian menghampiri angka sejuta di seluruh dunia, dan angka-angka ini dikhuatiri akan terus meningkat.

Beliau memberitahu, disebabkan pandemik ini, kehidupan masyarakat sudah tidak seperti dahulu lagi.

“Mungkin dahulu kita bebas nak pergi ke mana-mana tempat yang kita suka, tetapi kini tidak lagi. COVID-19 berada di mana-mana sahaja lebih-lebih jika tempat tersebut ditanda sebagai Zon Merah untuk wabak ini, membuatkan kita berfikir banyak kali untuk membuat keputusan.

“Seandainya kita dijangkiti, mungkin kita tidak akan menunjukkan gejala yang serius disebabkan fizikal dan faktor umur kita yang kurang berisiko.

“Tetapi kita harus ingat, kita mampu menjadi pembawa dan menyebarkannya kepada orang lain yang be-risiko tinggi, termasuk ahli keluarga sendiri dan orang yang kita sayangi.

“Jika perkara ini berlaku, hendak menyesal sekali pun sudah tidak berguna lagi,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo.

 

Sehubungan itu, Dr Naqib berkata cara untuk mengekang penularan virus ini ialah dengan mengamalkan norma baharu.

“Perkara ini semua kita telah tahu dan kita maklum akan pentingnya mengamalkan norma baharu dalam kehidupan.

“Tetapi persoalannya sejauh manakah kefahaman dan kesungguhan kita untuk sama-sama membantu kerajaan mengawal penularan virus ini,” tegasnya.

(Kiri) DR NAQIB dan DR SUHAILA
(Kiri) DR NAQIB dan DR SUHAILA

Katanya, kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengeluarkan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) bertujuan untuk memutuskan rantaian penularan COVID-19.

“Contohnya, mewajibkan pemakaian pelitup muka jika berada di dalam pengangkutan awam dan di kawasan sesak atau tumpuan umum,” tambahnya.

Jelasnya lagi, pelitup muka juga harus dipilih seperti yang disyorkan iaitu pelitup muka kategori tiga lapisan atau N95 kerana mampu menapis kira-kira 95 peratus virus.

Selain itu, Dr Naqib berkata, orang ramai juga dinasihatkan agar kerap mencuci tangan menggunakan sabun ataupun cecair pensanitasi tangan.

“Tetapi perlu kita ingat, cecair pensanitasi tangan yang digunakan haruslah mengandungi sekurang-kurangnya 70 peratus alkohol seperti yang telah digariskan bagi membasmi virus yang melekat pada tangan.

“Sekiranya kita mempunyai gejala seperti demam, batuk atau kesukaran bernafas, dapatkan rawatan dengan pengamal perubatan bertauliah,” katanya.

 Orang ramai perlu mengamalkan norma baharu meletakkan tangan ke dada tanda hormat apabila berjumpa.
SOPAN SANTUN: Orang ramai perlu mengamalkan norma baharu meletakkan tangan ke dada tanda hormat apabila berjumpa.

Sementara itu, Pakar Radiologi Hospital Umum Sarawak Dr Suhaila Bohan berkata, virus COVID-19 adalah musuh tidak kelihatan yang boleh membunuh.

“Sebab tidak nampak, ramai tidak mengendahkan saranan KKM tetapi bila sudah terkena barulah menyesal.

“Orang ramai adalah petugas barisan hadapan sebenarnya, apa yang disarankan kerajaan bukannya untuk suka-suka kerana ia adalah untuk memutuskan rantaian penularan COVID-19.

“Jika orang awam tidak ambil peduli pasal COVID-19, lama-kelamaan virus ini boleh bermutasi dan memburukkan lagi keadaan, jadi janganlah ambil remeh tentang saranan kerajaan dan KKM,” katanya.

Berkongsi pengalamannya di bahagian Radiologi, Dr Suhaila memberitahu, secara teknikalnya beliau tidak merawat pesakit tetapi melihat rapat perkembangan wabak itu.

“Ada satu kes melibatkan pesakit muda berusia 30 tahun yang tidak mempunyai masalah kesihatan. Hari pertama dikesan ada sedikit perubahan dalam X-ray tetapi perkembangan (virus) boleh menjadi sangat teruk dalam beberapa hari sahaja.

 Orang ramai digalakkan menggunakan cecair pensanitasi tangan sebelum masuk ke sesebuah premis.
ELAK DIJANGKITI: Orang ramai digalakkan menggunakan cecair pensanitasi tangan sebelum masuk ke sesebuah premis.

“Jadi sesiapa yang rasa masih muda dan tidak mempunyai masalah kesihatan, jangan rasa diri tidak akan terkesan teruk apabila dijangkiti COVID-19 kerana penyakit ini tidak mengira tua, muda, sihat atau tidak,” tegasnya.

Justeru, beliau menyeru agar orang ramai agar sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan dan mengamalkan norma baharu dalam kehidupan.

“Pesanan saya, ikutilah SOP yang telah ditetapkan, bersamalah kita mengekang penularan wabak COVID-19 ini,” ujarnya lagi.

Bekas pesakit minta orang ramai pandang serius pandemik COVID-19

 

KUCHING: Pematuhan kepada garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) serta membudaya-kan norma baharu boleh mengelakkan risiko dijangkiti COVID-19.

Ada tujuannya kerajaan meuar-uarkan kepentingan disiplin diri sejak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu sehinggalah PKP Pemulihan (PKPP) sekarang.

Virus ini tidak mengenal sesiapa, darjat atau pangkat, miskin atau kaya – kita semua terdedah kepada kemudaratan sekiranya alpa, justeru dengarlah nasihat daripada mereka yang pernah dijangkiti COVID-19 namun kini sudah pulih sepenuhnya.

Othman Mustapha, 66, amat percaya pematuhan kepada SOP dan mengamal-kan norma baharu dapat menghindarkan diri daripada dijangkiti virus itu.

“Jangan ambil mudah virus COVID-19, kita masih belum menang, jadi berwaspadalah setiap masa.

“Sekiranya bergejala, ja-ngan takut, terus ke klinik kerajaan dan dapatkan rawatan lanjut kerana virus ini amatlah berbahaya dan kita tidak tahu di mana dan bila ia berada dekat dengan kita,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo.

 Salasiah Safian menunjukkan aplikasi MySejahtera yang memudahkan orang ramai mendaftar masuk ke premis.
LEBIH MUDAH: Salasiah Safian menunjukkan aplikasi MySejahtera yang memudahkan orang ramai mendaftar masuk ke premis.

Jelasnya, norma baharu tidak susah untuk dilaksanakan, pakai pelitup muka apabila keluar di khalayak ramai, elak tempat yang sesak, cuci tangan dengan kerap, tidak payah berjabat tangan dan sentiasa mengemas kini diri dengan maklumat terkini mengenai situasi COVID-19.

“Sebagai bekas pesakit COVID-19 yang sudah sembuh sepenuhnya, saya jadikan pengalaman enam hari di wad isolasi dan dikuarantin selama 52 hari untuk lebih peka dan berhati-hati dengan keadaan sekeliling terutamanya melibatkan kesihatan.

“Pengalaman pahit tersebut turut mengajar saya untuk lebih menghargai kesihatan diri dan saya sentiasa mengingatkan keluarga saya agar sentiasa menjaga kesihatan diri dan elakkan daripada dijangkiti virus berkenaan.

“Malah, ia satu tempoh yang lama berjauhan dari keluarga dan ketidakpastian sama ada saya berjaya melawan virus berkenaan sentiasa bermain di fikiran saya semasa di wad isolasi dan pusat kuarantin,” tambah Othman.

(Kiri) OTHMAN  dan LAILA
(Kiri) OTHMAN dan LAILA

Menurutnya lagi, sokong-an daripada keluarganya menguatkan semangatnya untuk terus melawan virus berkenaan.

“Walaupun saya sudah pulih sepenuhnya, saya meng-ambil masa yang agak lama untuk keluar dan pergi ke sana sini dan apabila menye-dari kita telah mengamalkan SOP bagi norma baharu sejak PKP bermula, saya rasa selamat untuk keluar,” tegasnya.

Memandangkan COVID-19 masih ada, beliau menggesa semua orang untuk memandang serius pandemik itu dan meneruskan kehidupan dengan norma baharu.

“Semua orang harus melakukan apa yang betul bukan hanya untuk melin-dungi diri sendiri sahaja, tetapi juga orang tersayang daripada penyakit pembunuh ini,” ujarnya.

Berkongsi kisahnya, Othman berkata segalanya bermula seminggu selepas melawat seorang ahli keluarga yang meninggal dunia pada 18 Mac lalu yang kemudian disahkan akibat COVID-19.

Beliau mula berasa tidak sihat dan tidak menyangka beliau telah dijangkitinya kerana keputusan saringan awal kembali negatif.

Keadaan bertambah buruk apabila kesihatannya merosot, malah turut pengsan pada 27 Mac lalu, dan satu lagi saringan kembali positif keesokan harinya.

Beliau berasa amat kecewa apabila dimasukkan ke Wad COVID di Hospital Umum Sarawak selama enam hari bermula 28 Mac lalu.

“Pada hari ketiga selepas dimasukkan ke wad, saya sangka saya akan mati kerana saya tidak dapat bernafas,” katanya.

Namun, keadaan semakin baik pada hari kelima apabila selera makan beliau kembali, dan beliau berasa semakin pulih dan yakin dapat pulang tidak lama lagi.

Beliau amat lega selepas doktor memaklumkan beliau akan dibenarkan pulang pada hari berikutnya tetapi terus berada dalam kua-rantin di Kompleks Belia dan Sukan dengan saringan berulang.

Othman berkata, beliau amat sedih kerana terpaksa menyambut hari pertama Hari Raya Aidilfitri pada 24 Mei lalu dalam pengasingan dan tidak dapat bersama lima anak dan 15 cucunya.

Namun demikian, beliau menganggap segala-nya sebagai satu ujian yang mendekatkan lagi dirinya dengan Allah.

Betapa peritnya pengalaman dari segi mental, emosi dan rohani ketika bertarung melawan COVID-19, dan Othman tidak mahu orang lain turut mengalaminya.

Menyentuh tentang aplikasi MySejahtera, Othman berkata, sebagai seorang warga emas yang kurang memahami teknologi masa kini, aplikasi itu mudah digunakan.

“Apa yang boleh saya katakan ialah aplikasi MySejahtera memudahkan urusan keluar masuk mana-mana premis dan juga memudahkan kita untuk menge-tahui tentang status terkini COVID-19.

“Jadi amat penting bagi kita untuk muat turun aplikasi MySejahtera dan gunakan sebaiknya demi kepentingan bersama,” katanya.

Sementara itu, Laila Turushima Jamat sependapat dengan Othman, MySejahtera amat bagus dalam memudahkan proses pendaftaran ketika berkunjung ke premis.

Menurutnya, aplikasi itu juga memudahkan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan lokasi yang pernah dikunjungi seseorang individu jika dia dikesan positif wabak berkenaan.

Laila, seorang lagi bekas pesakit COVID-19 berkata, pengalaman sepanjang menerima rawatan telah menguatkan dirinya dari segi rohani.

“Sentiasa berfikiran positif dan jaga jasmani kita de-ngan menjaga pemakanan dan elakkan diri daripada perkara-perkara negatif,” tambahnya.

Laila turut menasihatkan orang ramai agar tidak takut kepada bekas pesakit CO-VID-19 kerana mereka telah sembuh dan tidak menjangkiti orang lain.

“Perkara paling penting ialah setiap individu kena kuatkan sistem imun badan dengan mengamalkan pemakanan sihat dan pengambilan makanan tambahan seperti vitamin,” ujarnya sambil mengajak semua orang membudayakan norma baharu agar sentiasa terlindung daripada wabak berkenaan.

Advertisement