Anda di sini

Hajiji beri harapan selesai isu PTI, MA63 dan pemulihan ekonomi

Advertisement
RAZALIE
RAZALIE

KENINGAU: Kerajaan baharu Sabah yang diterajui Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor memberi keyakinan kepada rakyat bahawa isu-isu yang dibangkit Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) ketika berkempen dapat ditangani dengan baik.

Presiden Persatuan Gana Sabah (PGS) Ahmad Razalie @ Titus Selabin berkata pengalaman dalam kerajaan, politik dan hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan memberikan kelebihan kepada PN, BN dan PBS dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyempurnakan isu Pendatang Tanpa Izin (PTI) dan pemulihan ekonomi negeri ini.

“Kerajaan baharu juga dapat memberikan bayangan bahawa penyempurnaan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dapat dipermudahkan serta dipercepatkan,” katanya.

Razalie berharap kerajaan baharu negeri Sabah dapat memberikan perkhidmatan telus dan tidak mendiskriminasi kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang dalam mengagih-agihkan peruntukan.

SIMON
SIMON

Sementara itu, Setiausaha Bahagian PBS Melalap Simon Mamat berkata pembentukan kerajaan baharu GRS memberi kegembiraan kepada rakyat kerana dipimpin jemaah menteri berpengalaman diterajui Ketua Menteri berpengetahuan dan berpengalaman luas.

Kata Simon, pengalaman menjadi ADUN tujuh penggal memberikan kelebihan kepada Hajiji untuk membawa kepimpinan negeri merealisasikan hala tuju pembangunan seiringan dengan dasar-dasar Kerajaan Persekutuan.

Seperkara lagi, jelas Simon selama penglibatan politik, Hajiji tidak pernah dikaitkan dengan tuduhan-tuduhan rasuah dan diterima umum sebagai anak jati tempatan dari Tuaran yang prihatin terhadap masalah PTI, MA63, COVID-19 dan pemulihan ekonomi.

EVENNIE
EVENNIE

Sementara itu Evennie Benedict, usahawan kecil dari Bingkor melahirkan rasa gembira di atas komposisi kepimpinan tertinggi negeri yang dianggotai para pemimpin yang selama ini lantang menyuarakan aspirasi rakyat Sabah.

“Saya penuh yakin Hajiji beserta jemaah menteri dapat memacu pembangunan dan kesejahteraan Negeri Sabah seperti yang diinginkan rakyat,” katanya.

Evennie berharap kerajaan yang ada sekarang dapat menjaga kebajikan rakyat berbilang kaum dan agama dengan membawa mereka bergerak ke tahap yang lebih baik.

  • oleh
  • Advertisement