Anda di sini

AET RISDA bantu pekebun kecil getah

Advertisement
 Menteri KPLB Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad turut hadir bersama Mohd Salim menyantuni warga pekebun kecil di Ranau.
TURUN PADANG : Menteri KPLB Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad turut hadir bersama Mohd Salim menyantuni warga pekebun kecil di Ranau.

... Jana pendapatan menerusi bidang keusahawanan 

LANGKAH Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) memperkenalkan Program Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) melalui bidang keusahawanan ternyata disambut gembira warga pekebun kecil.

Lebih-lebih lagi, mereka bukan sahaja dapat meneruskan usaha menjana ekonomi melalui pendapatan utama menerusi penghasilan komoditi getah, tetapi turut berpeluang meneroka sumber pendapatan alternatif.

 Mohd Salim tertarik dengan perniagaan percetakan baju yang diusahakan Louna bersama suami dan anak-anaknya di Tamparuli.
TERTARIK: Mohd Salim tertarik dengan perniagaan percetakan baju yang diusahakan Louna bersama suami dan anak-anaknya di Tamparuli.

Menerusi AET, RISDA menyediakan bantuan peralatan, kelengkapan, dan input untuk pelaksanaan projek dalam bidang perkhidmatan, makanan, pembuatan dan pertanian.

Utusan Borneo berkesempatan menyertai rombongan Pengerusi RISDA Malaysia Datuk Mohd Salim Mohd Sharif melawat peserta-peserta RISDA yang menerima bantuan AET.

Peserta-peserta yang ditemui ternyata teruja, gembira dan bersyukur kerana RISDA komited bukan sahaja memberikan bantuan peralatan tetapi juga dorongan dan jaringan.

 Mohd Salim mendengar penjelasan daripada suami Louna. mengenai baju-baju korporat yang dihasilkan oleh syarikat mereka. Turut kelihatan Louna.
FOKUS: Mohd Salim mendengar penjelasan daripada suami Louna. mengenai baju-baju korporat yang dihasilkan oleh syarikat mereka. Turut kelihatan Louna.

Menurut, Louna Tadin yang mengusahakan projek percetakan, model dan restoran dengan jenama NAVITA, bantuan nasihat, panduan dan tunjuk ajar amat disyukurinya.

"Saya sudah lama buat runcit dan cetak baju di Kg Loputung Tamparuli, semenjak pakai lampu minyak tanah lagi, dan syukur perniagaan kami masih bertahan dan berkembang.

"Kami menerima bantuan mesin cetak baju jenis heat press bernilai RM10, 000 pada 2014, sekaligus menambah keupayaan syarikat mencetak baju," katanya.

Louna berkata, kesan bantuan peralatan itu memang luar biasa kerana membolehkan mereka mencetak tempahan baju dalam kuantiti sedikit berbanding hanya menerima tempahan kuantiti besar.

Malah, keprihatinan RISDA menghubungi mereka untuk bertanya khabar serta bimbingan dan kaunseling berterusan, membuatkan semangatnya terus berniaga juga bertambah utuh.

"Mereka memang prihatin malah anak ketiga saya juga dihantar ke Kelantan untuk menjalani kursus mengendalikan perniagaan percetakan," katanya.

Beliau juga mengaku bahawa semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada Mac lepas, perniagaan mereka mencatat kerugian yang teruk.

Keadaan lebih buruk apabila mereka turut diuji dengan pemilik premis kedai yang menuntut bayaran sewa penuh sepanjang PKP berkuatkuasa kecuali April.

"Pada masa itu, kami tidak ada jualan dan kemasukan. Jadi bagaimana kita mahu bayar," katanya, sambil mengakui hampir menjual rumahnya jika keadaan bertambah genting.

Sedaya mungkin, beliau mahu syarikat mereka terus bertahan kerana sayangkan perniagaan mereka dan dorongan daripada pegawai RISDA menambah semangatnya.

"RISDA cakap jangan putus-asa. Kamu pasti boleh. Semangat yang diberikan kepada kami, dorong saya memberitahu suami dan anak-anak supaya terus bertahan.

"Memang saya masih memerlukan bantuan dan terima kasih dengan RISDA sebab sangat prihatin dengan kami. Kata-kata semangat itu mendorong saya terus maju," katanya. 

 Mohd Salim melihat sendiri bantuan-bantuan yang diberikan RISDA kepada Lalim.
BANTUAN: Mohd Salim melihat sendiri bantuan-bantuan yang diberikan RISDA kepada Lalim.

Usahawan bimbingan RISDA dalam sektor rekreasi tepi pantai dan snorkeling di Kg Buah Pandai, Kota Belud, Lalim Kandiyong, bersyukur dengan  bantuan peralatan dan bimbingan yang disampaikan oleh agensi kerajaan berkenaan. 

Menurutnya, bantuan diterima seperti banana bot, snorkeling, dan memperbesarkan chalet-chalet yang dibangunkan di premis yang diberi nama Rangbulan di atas tanah miliknya sendiri. 

"Masa PKP, memang kita jatuh teruk tetapi perniagaan ini perlu diteruskan dan sebelum COVID-19 melanda, kita menerima kehadiran pelancong dalam dan luar negara seperti Korea, China, Jepun dan England," katanya. 

Lalim turut mengakui tidak menyangka bantuan yang diberikan RISDA bukan hanya tertumpu dengan getah tetapi turut memberikan peluang kepada pekebun kecil seperti mereka mengembangkan usaha lain dalam perniagaan. 

Malah, selain mengusahakan getah semenjak 2011 dan pusat rekreasi Rangbulan, beliau turut berjinak-jinak di dalam sektor perikanan menerusi bagang dan menternak kambing bersama anak-anaknya. 

Menyentuh inisiatif yang dilaksanakan, Datuk Mohd Salim berkata fokus RISDA adalah untuk memastikan pekebun-pekebun kecil dapat terus menjana ekonomi tanpa bergantung sepenuhnya dengan hasil getah. 

"Sebagai agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar, RISDA kita komited membangunkan industri getah serta terlibat dalam meningkatkan sosial dan ekonomi masyarakat pekebun kecil termasuk di Sabah. 

 Mohd Salim mengetuai rombongan RISDA melawat tapak perniagaan yang diusahakan oleh Lalim (hadapan) di Kg Buah Pandai, Kota Belud.
LAWAT: Mohd Salim mengetuai rombongan RISDA melawat tapak perniagaan yang diusahakan oleh Lalim (hadapan) di Kg Buah Pandai, Kota Belud.

"RISDA Sabah menerima hampir RM43 juta untuk melaksanakan pelbagai program di bawah Bantuan Langsung Kerajaan kepada 33,606 pekebun kecil di negeri ini melibatkan keluasan 104,032.80 hektar," katanya. 

Sekaligus, pelaksanaan bantuan AET dilihat tepat memandangkan kebergantungan kepada produktiviti getah kurang menjamin pendapatan pekebun kecil justeru aktiviti keusahawanan adalah pilihan terbaik meningkatkan hasil pendapatan warga. 

  • oleh
  • Advertisement