Anda di sini

10 janakuasa bergerak TNB diterbangkan TUDM ke Sabah

Advertisement
 Janakuasa bergerak TNB ditempatkan di pusat pengundian.
GENSET: Janakuasa bergerak TNB ditempatkan di pusat pengundian.

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) berusaha untuk memastikan proses Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN-16) ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan bekalan elektrik, khasnya ketika proses penjumlahan undi dilaksanakan.

Sehubungan dengan itu, SESB telah bekerjasama dengan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), 70 Rejimen Pakar Janaelektrik dan TUDM untuk membawa masuk 10 buah genset milik TNB ke Sabah setelah mendapat kelulusan daripada Kementerian Pertahanan Malaysia melalui Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.

Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) merangkap  Komander
Bilik Gerakan Pusat SESB Ir. Norhizami Abu Hasan berkata, janakuasa bergerak berkenaan dihantar ke Sabah melalui penerbangan ihsan TUDM dan akan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu secara keseluruhannya lewat malam ini.

"10 buah set janakuasa bergerak dengan kapasiti 300kva per unit akan ditempatkan di pusat penjumlahan undi yang telah dikenalpasti bagi menjamin kestabilan bekalan elektrik sepanjang Pilihanraya Negeri Sabah PRN ke-16 yang berlangsung esok," katanya dalam kenyataan media.

Dengan tambahan 10 janakuasa bergerak TNB itu, jumlah janakuasa bergerak tunggusedia secara keseluruhannya adalah sebanyak 66 unit di seluruh sabah bagi menampung keperluan sebagai punca bekalan sokongan/alternatif bagi memastikan bekalan ke pusat-pusat penjumlahan undi itu sentiasa stabil dan berterusan.

Dalam pada itu, seramai 23 anggota kerja TNB juga ditempatkan di Sabah bagi membantu mengendali genset terbabit di lokasi-lokasi yang telah ditetapkan.

Pihak SESB juga turut menyediakan beberapa unit lampu kecemasan kekal atau lampu kecemasan mudah alih (portable) di semua 64 pusat penjumlahan undi dengan jumlah kos hampir RM90k sebagai lampu sokongan sekiranya kejadian yang tidak diingini berlaku.

Advertisement