Anda di sini

Kain burie mampu bantu jana pendapatan

Advertisement
 Para peserta kelas kain burie merakam gambar kenangan bersama Melia (tengah).
UNTUK ALBUM: Para peserta kelas kain burie merakam gambar kenangan bersama Melia (tengah).

PENDUDUK terutama golongan wanita yang terlibat dalam penghasilan kain burie digesa untuk memperluaskan pasaran penjualan kain tersebut dalam usaha untuk menjana pendapatan dan ekonomi domestik.

Usahawan kraf tangan berjaya Sarawak Datin Melia Gelen berkata, pembuatan kain burie ini bukan untuk keperluan diri sahaja serta untuk mengisi masa lapang bahkan kain ini boleh dijual untuk menambah pendapatan keluarga.

Katanya, mereka yang terlibat dalam bidang ini teruskan belajar membuatnya dan sekiranya telah mahir, mereka boleh menghasilkan kain burie dengan jenama sendiri.

 Melia (kanan) menunjuk ajar seorang peserta semasa menghasilkan kain burie.
SEBAR ILMU: Melia (kanan) menunjuk ajar seorang peserta semasa menghasilkan kain burie.

Beliau berkata demikian dalam Program Kraf Kreatif Dewan Undangan Negeri (DUN) N60 Kakus untuk Kelas Kain Burie di Dewan Sukan Tatau, Tatau baru-baru ini.

Melia yang merupakan isteri Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) merangkap ADUN Kakus Datuk John Sikie Tayai berkata, tidak mustahil peserta yang terlibat dalam program ini akan berjaya dan mempunyai jenama kain burie sendiri.

Beliau berkeyakinan akan lahir golongan mahir menghasilkan kain burie pada suatu masa kelak dari kawasan Kakus sekali gus kawasan tersebut akan dikenali sebagai pengeluar kain burie yang menarik dan kreatif.

 Sebahagian peserta memberi tumpuan penuh terhadap hasil kerja kreatif mereka menghasilkan kain burie.
KHUSYUK: Sebahagian peserta memberi tumpuan penuh terhadap hasil kerja kreatif mereka menghasilkan kain burie.

Sebagai tenaga pengajar kepada peserta program kraf kreatif itu Melia menjelaskan, kelas yang sama akan diadakan pada pertengahan Oktober sekali gus peserta yang telah menyertai program ini dapat mengembangkan kemahiran mereka daripada apa yang dipelajari dalam kelas pembelajaran menghasilkan kain burie tersebut.

Seramai 20 peserta dari kawasan Kakus menghadiri program sehari suntuk itu seawal jam 8 pagi hingga 5 petang yang diadakan secara percuma namun peserta perlu membawa sendiri kelengkapan yang diperlukan untuk menghasilkan kain burie tersebut.

Dalam pada itu Tuai Rumah Tepi Ebek dari Jalan Ladang 4 Bukut, Mukah yang mewakili peserta kursus berterima kasih kepada Melia atas inisiatif mengadakan kelas seumpamanya.

“Beliau tidak hanya berkongsi ilmu berkaitan cara menghasilkan kain burie bahkan sentiasa memberi kata-kata semangat agar golongan wanita sentiasa berusaha dalam melakukan sesuatu kerja sehingga berjaya khususnya membantu meningkatkan pendapatan keluarga melalui penglibatan dalam bidang kraf tangan,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement