Anda di sini

Dua pemancing hilang di perairan Bintulu sejak 17 Sept terus dicari

Advertisement
 Pegawai maritim dan bomba berbincang mengenai operasi SAR ke atas dua pemancing yang hilang.
KERJASAMA: Pegawai maritim dan bomba berbincang mengenai operasi SAR ke atas dua pemancing yang hilang.

BINTULU: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) ke atas dua pemancing yang hilang sejak 17 September lalu diteruskan oleh pasukan penyelamat di perairan Bintulu dan kawasan persekitarannya.

Pemangku Pengarah Maritim Negeri Sarawak Kapten Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, operasi SAR sehingga kini merangkumi keluasan pencarian 760 batu nautika persegi dan setakat ini masih tiada sebarang petunjuk baharu ditemui.

"Pangkalan Hadapan SAR telah ditubuhkan di Kuala Serupai dan setakat jam 5.30 petang kelmarin, Aset Maritim Malaysia KM Renggis, Bot Kilat 43, bot Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Polis Marin dan bot pancing turut serta dalam pencarian mangsa yang hilang tersebut," katanya dalam kenyataan semalam.

Selain itu katanya, Pesawat CN 235 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) turut diaturgerak dalam operasi itu dengan keluasan pencarian sejauh 602 batu nautika persegi namun didapati juga masih tiada sebarang petunjuk ditemui.

Katanya, operasi SAR ditangguhkan pada jam 6 petang Isnin dan diteruskan pada 7.30 pagi kelmarin.

Mangsa yang masih hilang itu dikenal pasti sebagai Kinminsna Kasim, 58, merupakan warga tempatan dan pekerjanya Pendi Salim Husin, 38, warga Indonesia dikatakan telah keluar memancing jam 5.30 petang 16 September, namun didapati tidak balik semula ke rumah pada hari kejadian.

Sebelum itu, difahamkan kakak kepada mangsa (Kinminsna) telah menghubungi mangsa melalui telefon bimbit supaya balik ke rumah memandangkan cuaca buruk pada hari kejadian dan mangsa akur serta mengiyakannya.

Begitupun kakak mangsa menghubungi mangsa untuk kali kedua tetapi gagal dan keluarga mangsa yang mula bimbang terus membuat laporan di Balai Polis Tatau pada masa dan hari yang sama.

Susulan itu Operasi pencarian dan menyelamat (SAR) diaktifkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau pada jam 12.35 tengah hari 17 September yang diketuai Komander operasnya merangkap Ketua BBP Tatau Jankey Jikat.

Bot yang dinaiki dua pemancing terbabit disyaki terbalik dalam perjalanan dari Jeti Kuala Serupai Tatau ke kawasan pelantar minyak Temana A.

Sehingga kini pasukan SAR hanya menemui sebuah bot terbalik yang disyaki bot mangsa pada jarak lebih kurang 11 batu nautika dari Pelantar Temana A dan didapati tiada sebarang penemuan mangsa di sekitar kawasan mangsa dilaporkan hilang.

Advertisement