Anda di sini

Bekas penolong pengarah SME Corp Terengganu didakwa terima suapan RM29,700

Advertisement
 Halimah (kiri) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu semalamterhadap empat pertuduhan menerima suapan keseluruhan bernilai RM29,700 berkaitan pengesahan kerja-kerja pembersihan pejabat dari 2015 hingga 2018. — Gambar Bernama
TERIMA PADAH: Halimah (kiri) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu semalamterhadap empat pertuduhan menerima suapan keseluruhan bernilai RM29,700 berkaitan pengesahan kerja-kerja pembersihan pejabat dari 2015 hingga 2018. — Gambar Bernama

KUALA TERENGGANU: Bekas Penolong Pengarah SME Corp Negeri Terengganu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, terhadap empat pertuduhan menerima suapan keseluruhan bernilai RM29,700 berkaitan pengesahan kerja-kerja pembersihan pejabat dari 2015 hingga 2018.

Halimah Musa Brahim, 42, yang ketika ini berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Hal Ehwal Ekonomi SME Corp di Kuala Lumpur membuat pengakuan berkenaan selepas kesemua pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Jamaludin Mat.

Bagi semua pertuduhan, Halimah didakwa telah menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan apabila dia menyokong pengesahan bagi kerja pembersihan pejabat SME Corp Negeri Terengganu oleh Syarikat NDZ Creative Resources masing-masing berjumlah RM3,300; RM4,400; RM13,200; dan RM8,800.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 1 Oktober hingga 1 Disember 2015; pertuduhan kedua pada 12 Januari hingga 1 November 2016; pertuduhan ketiga (2 Januari hingga 3 Disember 2017) manakala pertuduhan keempat (7 Januari hingga 12 Ogos 2018), yang mana semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat SME Corp Malaysia Negeri Te-rengganu.

Semua kesalahan itu adalah di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) Akta yang sama.

Jamaludin membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan perlu melaporkan diri setiap bulan di pejabat SPRM Kuala Lumpur, serta menetapkan 1 November untuk sebutan semula kes.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nor Hamizah Ghazali manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Fadhly Yaacob. — Bernama

Advertisement