Anda di sini

Sarawak terima tempahan 11.5 tan ikan tilapia, patin dari Singapura - STATOS

Advertisement
 

KUCHING: Sarawak terus melebarkan sayapnya dalam pasaran Singapura apabila negara itu membuat tempahan baharu ikan segar dari Batang Ai, Sri Aman sebanyak 11.5 tan metrik.

Menurut kenyataan akhbar dikeluarkan Pejabat Pelancongan dan Perdagangan Sarawak, Singapura (STATOS) hari ini, salah satu pengeluar terbesar ikan tilapia Sarawak, Borneo Eco Fish Sdn Bhd telah memeterai perjanjian untuk mengeksport enam tan ikan patin dan 5.5 tan ikan tilapia ke Singapura menerusi Sheng Siong Group, rantaian pasar raya ketiga terbesar di negara itu dan memiliki 63 kedai di seluruh dunia.

"Kami gembira ke ikan tilapia baka Sarawak mendapat tempat dan sambutan sangat baik daripada pelanggan-pelanggan di Singapura. Mereka amat menghargai kualiti dan nutrisi yang kaya ada pada ikan tilapia yang diternak menggunakan teknik moden di negeri ini," kata Ketua Pengurus Borneo Eco Fish Thomas Hii.

Hii menambah, tempahan itu adalah yang terbaharu diterima daripada kumpulan pasar raya besar Singapura itu sejak 2019 dan optimis dengan kemasukan ikan patin sebanyak 6 tan ke pasaran negara itu.

"Tempahan dari Singapura diperluaskan keppada ikan patin menunjukkan produk ikan Sarawak berpotensi besar mengembangkan lagi 'ruang pasaran' dalam wilayah antarabangsa baharu," katanya sambil menambah ia juga menunjukkan prospek pelaburan seterusnya di kawasan ternakan baharu di Bakun, Murum dan Baleh.

Antara pemacu lain di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), pertanian dan akuakultur dipertingkatkan menerusi teknologi bersepadu dalam pertanian, pengurusan rantaian bekalan dan teknologi pintas bagi membolehkan Sarawak merealisasikan impian menjadi pengeksport bersih produk makanan berasaskan pertanian.

Kejayaan ini sudah tentunya mendapat sokongan daripada STATOS yang bertindak sebagai penasihat dan badan pemudah cara dalam memperkukuhkan lagi landasan perniagaan berdaya saing antara Sarawak dan Singapura menerusi pembukaan saluran perdagangan, pelaburan serta pelancingan sejak pertengahan 2019.

Sehubungan itu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) STATOS, Chew Chang Guan menggesa rakyat Sarawak menerokai peluang-peluang bagi mengeksport produk ke Singapura selain memperluaskan perdagangan, pelaburan, pengetahuan dan rangkaian sedia ada.

"STATOS berazam mengetengahkan kekayaan sumber Sarawak sebagai salah satu pilihan terbaharu wilayah itu bagi perdagangan dan pelaburan antarabangsa. Kami amat menggalakkan entiti perniagaan Sarawak berhubung dengan Singapura menerusi kami," katanya.

Chew menegaskan STATOS berperanan sebagai perdagangan dan pelaburan Sarawak, sememangnya mewujudkan jaringan bagi memberi tumpuan kepada industri pertanian, akuakultur dan perabot.

"Membentuk kolaborasi strategik dalam bidang berpotensi seperti pertanian, akuakultur dan perabot adalah cara untuk Sarawak membina saham pasaran baru di Singapura," katanya.

Advertisement