Anda di sini

Pengumuman Anwar seolah-olah mahu sabotaj negara: Wee

Advertisement
WEE
WEE

SANDAKAN: Pengumuman Dato’ Sri Anwar Ibrahim yang mengatakan beliau mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan dilihat seolah-olah mahu sabotaj negara, yang ketika ini sedang sibuk meyakinkan pelabur untuk memulihkan semula ekonomi negara.

Presiden MCA Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, ia dapat dibuktikan apabila sejurus beliau membuat pengumuman berkenaan, KLCI jatuh sebanyak 10.5 mata.

Katanya, Anwar kembali menggunakan taktik lamanya yang mana dahulu beliau juga pernah mendakwa kononnya mendapat sokongan 30 Ahli Parlimen dan akan 'menuju ke Putrajaya pada 16 September 2008'.

Bagaimanapun, katanya tiada apa yang berlaku susulan perkara itu.

Menurut Wee, ketika bercakap kepada pemberita, Anwar dilihat mengelak daripada menyentuh tentang jumlah nombor atau bilangan Ahli Parlimen yang bersama dengannya.

"Atas kapasiti presiden MCA, saya menegaskan bahawa pendirian kami adalah jelas iaitu MCA dan BN ketika ini masih teguh berdiri bersama Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Di bawah kepimpinan beliau, kerajaan dapat terus berfungsi dengan baik dan berjaya berhadapan dengan pandemik COVID-19 sejak enam bulan lalu.

"Dalam masa yang sama, kita dapat memulihkan semula ekonomi negara ketika waktu sukar yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19," katanya di Sandakan.

Wee berkata, sebagai seorang pemimpin politik senior, Anwar sepatutnya lebih bertanggungjawab, apatah lagi ketika ini sedang berlangsungnya PRN Sabah.

Jelasnya, kestabilan negara jauh lebih penting berbanding mengejar cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri.

  • oleh
  • Advertisement