Anda di sini

Bersama lindungi habitat kelip-kelip, elak populasi pupus - MNS Miri

Advertisement
 (Tengah kiri) Yii, Musa serta yang lain berteduh dibawah pokok nipah berikutan hujan sebelum meneruskan aktiviti melihat kunang-kunang di Sungai Raan, Bakam.
BERTEDUH: (Tengah kiri) Yii, Musa serta yang lain berteduh dibawah pokok nipah berikutan hujan sebelum meneruskan aktiviti melihat kunang-kunang di Sungai Raan, Bakam.

MIRI: Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Cawangan Miri kini bekerjasama dengan masyarakat nelayan di Kampung Bakam dalam usaha melindungi habitat kunang-kunang di sepanjang kawasan bakau Sungai Raan.

Pengerusinya Musa Musbah berkata, usaha terbabit penting bagi mengelakkan populasi kunang-kunang hilang dari kawasan tersebut. 

“Kita mempunyai banyak kunang-kunang di sepanjang sungai Miri iaitu dari Piasau sehinggalah ke Teniku.

“Bahkan baru-baru ini, kami telah ke kawasan berkenaan dan mendapati bahawa kunang-kunang tiada lagi berikutan bekalan makanan di kawasan berkenaan hilang akibat pencemaran,” jelasnya kepada pemberita di sini selepas mengadakan aktiviti pemerhatian kunang-kunang di Sungai Raan, Kampung Bakam, malam Selasa.

Bagi mengelakkan spesies kelip-kelip berkenaan daripada pupus, Musa memberitahu ada keperluan bagi melindungi pokok-pokok di tepian sungai yang menjadi tempat kunang-kunang berkumpul. 

“Kita (MNS Miri) bekerjasama dengan penduduk kampung di sini (Kampung Bakam) untuk memastikan pokok-pokok di sungai tersebut tidak terganggu. 

Pemandangan malam yang indah di perkampungan nelayan di sepanjang Sungai Raan, Kampung Bakam.
INDAH: Pemandangan malam yang indah di perkampungan nelayan di sepanjang Sungai Raan, Kampung Bakam.

“Kita telah melakukan kerja-kerja lapangan, dan berharap kita bersama berusaha menjaga kunang-kunang di sini,” ujarnya.

Terdahulu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM) Adam Yii berkata aktiviti memerhatikan kunang-kunang yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Tetap Pembangunan Pelancongan MBM bertujuan untuk melihat kawasan tersebut yang berpotensi diwartakan sebagai kawasan tarikan pelancongan di bandar raya peranginan Miri.

“Memerhatikan kunang-kunang boleh menjadi tarikan pelancong. Malah, aktiviti sebegini agak popular di beberapa tempat lain.

“Justeru, malam ini (Selasa), kita mahu melihat bagaimana untuk membangunkan kawasan di sini bagi menjadi produk tarikan pelancong di Miri,” tambahnya.

Selain kakitangan MBM dan ahli majlis, aktiviti terbabit turut disertai oleh beberapa pengamal media. 

Hujan yang turun secara tiba-tiba ketika menaiki perahu pada waktu malam tersebut, tidak mematahkan semangat untuk terus melihat kelipan kunang-kunang.

Yii menunjukkan kepada yang lain di mana beliau melihat kelipan kunang-kunang.
DI SITUl: Yii menunjukkan kepada yang lain di mana beliau melihat kelipan kunang-kunang.

Bagi wartawan The Borneo Post, Norni Mahadi yang turut menyertai aktiviti itu teruja melihat kelipan kunang-kunang dan menaiki perahu.

“Aktiviti ini mengembalikan kenangan masa kecil. Aktiviti melihat kunang-kunang menjadi antara aktiviti pada waktu malam zaman kanak-kanak di kampung dahulu.

“Namun agak kecewa sebab tidak banyak kunang-kunang yang dilihat berkelip dan ditambah dengan keadaan hujan,” tambahnya.

  • oleh
  • Advertisement