Anda di sini

Bangunan tiga tingkat runtuh di India

Advertisement
 Para pekerja penyelamat meneruskan usaha mencari mangsa yang masih hidup dan terperangkap dalam runtuhan bangunan kediaman tiga tingkat di Bhiwandi, semalam. — Gambar AFP
TRAGEDI: Para pekerja penyelamat meneruskan usaha mencari mangsa yang masih hidup dan terperangkap dalam runtuhan bangunan kediaman tiga tingkat di Bhiwandi, semalam. — Gambar AFP

BHIWANDI: Sepuluh orang telah terkorban manakala 25 lagi mangsa dikhuatiri terperangkap selepas sebuah bangunan kediaman tiga tingkat runtuh awal pagi semalam di barat India, menurut pihak berkuasa.

Kemalangan di bandar Bhiwandi, yang berhampiran bandar utama kewangan Mumbai di India, berlaku pada kira-kira jam 3.40 pagi waktu tempatan, menurut pihak berkuasa tempatan.

“Sepuluh orang telah meninggal dunia, kami telah menyelamatkan 11 orang yang masih hidup,” kata pegawai di pusat pentadbiran bandar Thane, yang mengawasi Bhiwandi.

Lebih 40 pekerja kecemasan tiba di tempat kejadian, menurut pegawai, termasuk satu pasukan yang terdiri daripada 30 anggota penyelamat dari Pasukan Respons Bencana Kebangsaan (NDRF).

Pengarah urusan NDRF Satya Narayan Pradhan menyatakan dalam Twitter bahawa pasukan yang dilengkapi peralatan khusus dan anjing pengesan itu telah cuba untuk menyelamatkan kira-kira 20 hingga 25 mangsa yang dikhuatiri terperangkap.

Gambar yang disiarkan dalam laman rasmi Twitter NDRF menunjukkan para pekerja kecemasan menggeledah runtuhan konkrit dan bata  tatkala wayar elektrik bergantungan di atas kepala mereka.

Punca runtuhan masih dalam siasatan namun kejadian seperti ini lazim berlaku ketika monsun Jun-September di India di mana bangunan lama yang sudah usang mereput selepas hujan tanpa henti selama beberapa hari.

Dalam perkembangan berasingan, beberapa kerajaan negeri di India membenarkan 50 peratus kakitangan untuk hadir di sekolah dan kolej bagi menjalankan semula tugas pengajaran secara dalam talian dan kaunseling televideo tatkala pandemik COVID-19 masih mengganas di negara itu.

Selain itu, tarikan pelancong utama Taj Mahal dan beberapa sekolah dibuka semula semalam ketika pihak berkuasa meneruskan usaha untuk merancakkan semula ekonomi yang terjejas teruk meskipun kes jangkitan terus melonjak.

India terpaksa menutup sekolah dan kolej lebih lima bulan gara-gara kes COVID-19 yang terus memuncak.

Negara itu yang dihuni 1.3 bilion penduduk dan menempatkan antara bandar-bandar paling padat di dunia, telah merekodkan lebih 5.4 juta kes jangkitan COVID-19. — AFP

Advertisement