Anda di sini

Kes laporan palsu: ADUN tiada kena-mengena, kata Ketua Polis P.Pinang

Advertisement
 Sahabudin (kanan) menyampaikan replika kunci kereta peronda (MPV) Honda Civic 1.8s kepada Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, ACP Noorzainy Mohd Noor pada majlis penyerahan MPV Honda Civic 1.8s dan lori Hino yang baharu di Polis Marin Wilayah 1, Batu Uban dekat George Town, semalam. — Gambar Bernama
BAHARU: Sahabudin (kanan) menyampaikan replika kunci kereta peronda (MPV) Honda Civic 1.8s kepada Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, ACP Noorzainy Mohd Noor pada majlis penyerahan MPV Honda Civic 1.8s dan lori Hino yang baharu di Polis Marin Wilayah 1, Batu Uban dekat George Town, semalam. — Gambar Bernama

GEORGE TOWN: Siasatan berhubung kes laporan palsu oleh pegawai khas seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Pulau Pinang kononnya dia disamun pada 12 September lepas mendapati, kes itu tiada kena-mengena dengan ADUN berkenaan.

“Soalan sama ada polis merekodkan keterangan ADUN itu.. tiada keperluan (rekod keterangan), sebab beliau tidak terlibat langsung dalam kes ini, kami sedang lengkapkan kertas siasatan untuk dihantar ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan seterusnya,” kata Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Sahabudin Abd Manan.

Beliau berkata siasatan polis mendapati pegawai khas berkenaan bersama adik lelakinya memang sengaja membuat cerita konon disamun kerana enggan membayar wang RM60,000 kepada individu yang mengugut adiknya.

“Dalam kes ini, wang kononnya RM60,000 itu memang tidak wujud langsung dan ia (duit) juga bukan milik ADUN berkenaan, suspek bersama adiknya hanya buat cerita mereka disamun sahaja. Polis telah merekodkan keterangan semua pihak terlibat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kereta Peronda (MPV) Honda Civic 1.8s Kontinjen Polis Pulau Pinang.

Isnin lepas polis menahan pegawai khas kepada seorang ADUN di Pulau Pinang bagi membantu siasatan berhubung satu laporan palsu dibuat lelaki berusia 30-an itu kononnya dia disamun RM60,000 pada 12 Sept, dan polis turut menahan adik lelakinya berumur 20 tahun selepas siasatan mendapati terdapat maklumat yang mengelirukan serta bercanggah dalam keterangan mereka.

Katanya dua beradik itu kini telah dibebaskan dengan jaminan polis dan kes disiasat menurut Seksyen 182 Kanun Keseksaan iaitu membuat laporan polis palsu, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu pada majlis itu, Sahabudin berkata 26 MPV jenis Honda Civic 1.8S dan tujuh lori Hino diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah di Pulau Pinang serta Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Negeri. — Bernama

“Saya yakin penambahan kereta baharu ini akan dapat meningkatkan prestasi Kontinjen Polis Pulau Pinang terutama di bahagian unit peronda MPV dan meningkat imej serta keselesaan pegawai serta anggota dalam menjalankan tugas. Ketika ini, terdapat 139 MPV di sini untuk pelbagai kegunaan jabatan antaranya operasi dan rondaan,” katanya. — Bernama

Advertisement