Anda di sini

35 dikompaun ingkar SOP dan 5 ditangkap positif dadah di Kuching

Advertisement
Pemeriksaan yang dijalankan ke atas sebuah kedai makan.
Pemeriksaan yang dijalankan ke atas sebuah kedai makan.

KUCHING: Seramai 35 orang dikompaun daripada 218 orang yang diperiksa sepanjang operasi pemantauan pematuhan prosedur pengendalian standard (SOP) di daerah ini pada Jumaat.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Superintenden Merbin Lisa berkata operasi bersepadu tersebut yang turut disertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan RELA dilakukan dari jam 8 hingga 11 malam.

Menurutnya, 35 yang dikompaun adalah terdiri 25 lelaki dan 10 wanita.

"Kesemua mereka dikompaun dalam pemeriksaan ke atas dua pusat hiburan iaitu di pusat komersial 101 serta Gala City dan di kedai makan iaitu di Tebingan Kuching dan MetroCity.

"Mereka dikompaun kerana didapati gagal mematuhi SOP iaitu penjarakan fizikal seperti yang ditetapkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya kompaun tersebut perlu dijelaskan dalam tempoh 14 hari di Pejabat Kesihatan Daerah.

Pemeriksaan di sebuah pusat hiburan.
Pemeriksaan di sebuah pusat hiburan.

Selain itu, Merbin turut memberitahu pihaknya berjaya menangkap lima lelaki hasil pemeriksaan yang dilakukan di Jambatan Tun Salahudin Kuching, Stampin Baru dan Kampung Stampin.

"Kelima-lima mereka ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana hasil saringan urin mendapati mereka positif dadah jenis syabu," jelasnya.

Tegasnya juga, operasi seumpama itu akan terus dilaksanakan pada masa-masa akan datang.

"Tujuan operasi adalah untuk menunjukkan kehadiran polis, rondaan cegah jenahah dan pemantauan pematuhan SOP PKPP terutamanya di kawasan tumpuan ramai.

"Selain itu, operasi juga adalah usaha kita untuk memastikan keselamatan masyarakat dan ketenteraman awam di Kuching sentiasa terjamin," ujarnya.

  • oleh
  • Advertisement