Anda di sini

Bahrain, UAE jalin hubungan diplomatik dengan Israel

Advertisement
 Penunjuk perasaan menjulang bendera Palestin ketika membantah keputusan                            Bahrain dan UAE untuk memulihkan hubungan diplomatik sepenuhnya dengan Israel di Nablus, wilayah Tebing Barat kelmarin. — Gambar AFP
BANTAH: Penunjuk perasaan menjulang bendera Palestin ketika membantah keputusan Bahrain dan UAE untuk memulihkan hubungan diplomatik sepenuhnya dengan Israel di Nablus, wilayah Tebing Barat kelmarin. — Gambar AFP

WASHINGTON: Israel memulihkan hubungan de-ngan musuh lama Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Rumah Putih kelmarin manakala Presiden Donald Trump berkata perjanjian serupa yang ditaja oleh Amerika Syarikat juga hampir dicapai oleh negara Yahudi itu dengan beberapa negara lain, termasuk Arab Saudi.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan menteri luar Bahrain dan UAE memeterai perjanjian untuk mengadakan hubu-ngan diplomatik sepenuhnya dengan satu acara di ‘South Lawn’ Rumah Putih yang dihiasi bendera.

Ratusan tetamu menghadiri acara tersebut, yang Trump harap dapat mencerahkan lagi peluangnya untuk dipilih semula pada November, tetapi tidak ada berjabat tangan untuk mengukuhkan perjanjian bersejarah tersebut ekoran pandemik COVID-19.

Bahrain dan UAE merupakan negara-negara Arab yang pertama untuk menjalin hubungan dengan Israel semenjak Mesir pada 1979 dan Jordan pada 1994, dan Trump memujinya sebagai “hari bersejarah bagi keamanan”.

“Selepas perpecahan dan konflik selama berdekad-dekad, kita menandakan permulaan Timur Tengah baharu,” katanya.

Trump berkata perjanjian itu, yang dikecam sebagai satu “pengkhianatan” oleh pihak Palestin, “akan dijadikan sebagai asas bagi keamanan yang menyeluruh di seluruh rantau itu”.

Bercakap kepada pemberita kemudian, beliau berkata Israel akan membincangkan perjanjian yang sama dengan sembilan negara lain, termasuk kuasa serantau Arab Saudi.

Netanyahu berkata hari itu menandakan “permulaan baharu bagi keamanan”.

“Pada akhirnya ia dapat menamatkan konflik Arab-Israel buat selama-lamanya. Kepada semua rakan Israel di Timur Tengah, saya ucapkan damai kepada anda, shalom,” tambahnya.

Trump mahupun Netanyahu tidak menyebut tentang pihak Palestin dalam kenya-taan mereka, dan pemimpin Palestin Mahmud Abbas kelmarin berkata hanya peng-unduran Israel dari wilayah yang didudukinya sahaja dapat membawa keamanan ke Timur Tengah.

“Keamanan, keselamatan dan kestabilan tidak akan dicapai di rantau ini se-hingga pendudukan Israel berakhir,” kata Abbas.

Ketika perjanjian ditanda-tangani di Washington, roket dilepaskan ke Israel dari Semenanjung Gaza, yang mencederakan dua orang dan mencetuskan serangan udara oleh Israel ke atas wilayah tersebut.

Bagi Timur Tengah, perjanjian itu menandakan perubahan yang ketara kepada ‘status quo’ selama berdekad-dekad di mana negara-negara Arab cuba mengekalkan perpaduan untuk menentang Israel berhubung layanannya terhadap penduduk Palestin yang tidak ada negara.

Menteri luar UAE dan Bahrain ada menyebut tentang pihak Palestin dalam ucapan mereka sebelum acara menandatangani perjanjian.

“Terima kasih kerana memilih keamanan dan menghentikan perampasan hak ke atas wilayah Palestin,” kata Menteri Luar UAE Abdullah bin Zayed Al-Nahyan kepada Netanyahu. “Saya berdiri di sini pada hari ini untuk menghulurkan tangan keamanan.”

Menteri Luar Bahrain Abdullatif al-Zayani berkata “penyelesaian dua negara yang adil, menyeluruh dan lama bertahan kepada konflik Palestin-Israel” akan menjadi “batu asas” bagi keamanan yang berkekalan di Timur Tengah.

Trump, yang bercakap kepada Fox News menjelang acara berkenaan, berkata perjanjian itu akan memberi tekanan kepada pihak Pales-tin untuk berunding atau berdepan dengan keadaan “tersisih”.

“Pihak Palestin akan lambat-laun juga akan masuk,” katanya.

“Dan anda akan menikmati keamanan di Timur Tengah tanpa menjadi bodoh dan menembak semua orang, dan membunuh semua orang, dengan seluruh pasir ber-lumuran darah.”

Pemulihan hubungan akan memberikan peluang ekonomi yang besar kepada Israel dan dua rakan Arabnya yang baharu, pada waktu mereka berusaha untuk membangun semula negara selepas ke-lembapan antarabangsa yang dicetuskan oleh pandemik COVID-19.

Sementara itu, UAE telah menggunakan rundingan itu sebagai sebahagian daripada usahanya untuk mendesak Washington menjual pesawat F-35 yang moden kepadanya.

Trump kelmarin berkata beliau bersedia untuk menjual pesawat perang itu kepada UAE walaupun dibantah oleh Israel.

Ratusan penduduk Palestin menunjuk perasaan sebelum acara menandatangani perjanjian berlangsung.

Sambil membawa bendera Palestin dan memakai pelitup muka biru sebagai perlindu-ngan daripada COVID-19, penunjuk perasaan berhimpun di kota-kota Nablus dan Hebron di Tebing Barat yang diduduki Israel dan di Semenanjung Gaza.

Beberapa puluh penunjuk perasaan pro-Palestin turut mengadakan protes di luar Rumah Putih.

“Ini adalah satu tindakan yang menikam belakang rakyat Palestin,” kata peng-anjur perhimpunan, Zeina Hutchison. — AFP

Advertisement