Anda di sini

Marseille tewaskan PSG, padam rekod 20 perlawanan tanpa kemenangan

Advertisement
 Thauvin menyepak bola pada perlawanan Ligue 1 antara PSG dan Marseille di stadium Parc de Princes di Paris kelmarin. — Gambar AFP
BERTENAGA: Thauvin menyepak bola pada perlawanan Ligue 1 antara PSG dan Marseille di stadium Parc de Princes di Paris kelmarin. — Gambar AFP

PARIS: Florian Thauvin menamatkan rekod 20 perlawanan tanpa kemenangan Marseille ketika menentang Paris Saint Germain (PSG) apabila juara bertahan Ligue 1 itu tewas buat kali kedua berturut-turut dengan keputusan 0-1 pada Ahad dan menyaksikan penyerang termahalnya, Neymar, dibuang padang selepas dakwaan menerima cemuhan perkauman.

Thauvin tidak beraksi hampir sepanjang musim lepas kerana kecederaan lutut tetapi rembatan jarak dekat beliau pada minit ke-31 di Parc des Princes membolehkan Marseille meraih kemenangan pertama ke atas musuh ketat mereka itu sejak November 2011.

“Ia satu kemenangan yang penting, bersejarah. Ia kemenangan yang sukar dan sangat bagus,” kata jurulatih Marseille, Andre Villas-Boas.

PSG, yang tewas di final Liga Juara-Juara kepada Bayern Munich bulan lepas, kini sudah tewas dua perlawanan pertama mereka musim ini dan tanpa menjaringkan gol, kali pertama ia berlaku sejak musim 1978/1979 dan tugas buat skuad kendalian Thomas Tuchel yang terjejas dengan koronavirus (COVID-19) tidak kelihatan mudah bulan ini.

Beberapa jadual padat menanti, bermula dengan kunjungan ke Metz pada pertengahan minggu dan kemudian ke Nice pada Ahad, dan Neymar kini berdepan penggantungan selepas menampar muka pemain pertahanan Marseille, Alvaro Gonzalez semasa pergaduhan pada minit kecederaan yang menyebabkan lima kad merah dilayangkan pengadil.

Neymar dikatakan menuduh pemain lawan mengeluarkan kata-kata perkauman ketika beliau mengekori jejak Layvin Kurzawa dan Leandro Paredes yang meninggalkan padang selepas dibuang padang ekoran satu semakan video bantuan pengadil (VAR).

“Tiada tempat untuk perkauman dalam bola sepak tetapi saya tidak fikir itu yang berlaku... apa pun kami akan melihat kes ini,” kata Villas-Boas.

Dario Benedetto dan Jordan Amavi dilayangkan kad merah untuk Marseille.

Pengarah teknikal PSG, Leonardo, mencadangkan pengadil perlawanan, Jerome Brisard, kurang pengalaman untuk mengadili perlawanan berprofil tinggi seperti ini.

“Empat belas kad kuning dan lima kad merah bermakna perlawanan tidak dapat dikawal,” kata Leonardo. “Bukan mengkritik pengadil tetapi mungkin ia bukan masa untuk beliau mengadili satu perlawanan ‘clasico’ seperti ini.”

Tuchel cuba mengenepikan kepentingan kekalahan pasukannya.

“Saya tidak marah. Saya fikir anda harus memisahkan prestasi dan keputusan. Kami bermain dengan baik sekali, saya gembira dengan kualiti, mentaliti dan usaha pasukan,” kata beliau.

“Saya memberitahu pemain jika kami terus bermain seperti ini, kami akan memenangi setiap perlawanan. Ia adalah prestasi yang hebat tetapi keputusan tidak memihak kepada kami.”

Marseille cuba merapatkan jurang dengan PSG selepas menamatkan musim lepas di tangga kedua dan mendapati diri mereka kini memiliki kelebihan awal enam mata berbanding kelab yang sudah memenangi kejuaraan liga sebanyak tujuh kali dari lapan tahun terakhir.

Selepas menurunkan skuad yang lemah ketika menentang Lens, Tuchel dapat menurunkan Neymar dan Angel Di Maria untuk perlawanan yang dilangsungkan di hadapan sekitar 4,000 penyokong di Paris.

Bagaimanapun, Kylian Mbappe tidak kelihatan selepas diuji positif untuk COVID-19 ketika bermain bersama Perancis pada awal minggu lepas ,dengan Mauro Icardi dan Marquinhos juga tidak tersenarai dalam skuad perlawanan.

PSG memberikan penampilan sulung buat Alessandro Florenzi selepas tiba dari AS Roma untuk kontrak pinjaman sementara Sergio Rico bermula di pintu gol selepas kembali ke kelab dari tempoh pinjaman.

Penjaga gol Marseille, Steve Mandanda beraksi tangkas menepis cubaan Marco Verratti seawal minit kesembilan ketiga ketegangan memuncak.

Thauvin, yang beraksi cemerlang ketika Marseille menewaskan Brest 3-2 pada perlawanan pertama, membuka jaringan apabila menyempurnakan satu tendangan percuma Dimitri Payet.

Di Maria berjaya menjaringkan satu gol buat PSG selepas satu jam permainan tetapi gol itu tidak dibenarkan pengadil kerana ofsaid.

Marseille juga berjaya menjaringkan satu lagi gol tetapi tidak disahkan pengadil kerana Benedetto berkedudukan ofsaid.

Kali terakhir PSG  menjaringkan gol ialah ketika menewaskan RB Leipzig 3-0 semasa perlawanan separuh akhir Liga Juara-Juara pada 18 Ogos lalu dan Neymar gagal menyempurnakan hantaran lintang Pablo Sarabia sebelum ketegangan tidak dapat dikawal di akhir permainan.

“Ia agak mengecewakan kerana permainan berakhir seperti ini,” kata Thauvin. “Kami tidak mahu terlibat dengan perlawanan seperti ini.”

Pada perlawanan lain, Monaco berkongsi mata dengan Rennes di tangga teratas liga selepas menewaskan Nantes 2-1.

Serhou Guirassy menjaringkan dua gol pada penampilan kedua beliau bersama Rennes ketika kemenangan 4-2 di Nimes.

Lens menewaskan Lorient 3-2 sementara Lille menewaskan Metz 1-0 menerusi gol lewat Luiz Araujo sementara Angers menewaskan Reims 1-0 dan Brest menang 2-0 di Dijon. — AFP

Advertisement