Anda di sini

Universiti digalak perbanyak wacana ilmiah: Masidi

Advertisement
 Masidi (dua kanan) ketika melancarkan buku 'Sabah dalam Persekutuan Malaysia MA 63 Sebagai Kontrak Sosial'.
LANCAR: Masidi (dua kanan) ketika melancarkan buku 'Sabah dalam Persekutuan Malaysia MA 63 Sebagai Kontrak Sosial'.

KOTA KINABALU: Penerbitan Universiti Malaysia Sabah (Penerbit UMS) dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) telah menganjurkan program Wacana Ilmiah MA63 sempena pelancaran buku bertajuk 'Sabah dalam Persekutuan Malaysia MA 63 Sebagai Kontrak Sosial' yang ditulis oleh Dato Armizan Mohd Ali, kelmarin.

Buku berkenaan membincangkan tentang kedudukan Sabah dalam persekutuan Malaysia dengan signifikasi perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berkaitan isu hak, kepentingan dan kedudukan negeri Sabah.

Ketika melancarkan buku itu, Pengerusi Lembaga Pengarah UMS Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, isu-isu yang dikupas dalam buku 'Sabah dalam Persekutuan Malaysia MA 63 Sebagai Kontrak Sosial' menjadi salah satu perkara penting yang sentiasa mendapat perhatian pemimpin dan sarjana untuk dibincang dan diperhalusi.

"Universiti sebagai gedung ilmu sangat digalakkan untuk memperbanyakkan wacana ilmiah yang konstruktif agar ilmu yang tepat dan releven dapat dicapai oleh masyarakat. UMS khususnya, merupakan wadah yang mampu berperanan penting di negeri ini yang mampu merobah mentaliti dan menjadikan kehidupan masyarakat lebih berkualiti dan dinamik.

"Universiti bukan sahaja berupaya mencipta penyelidikan menggunakan teknologi moden malah pemanfaatan kearifan lokal yang ditingkatkan penggunaannya, juga mampu mencipta revolusi dalam pembangunan.  

"Sehubungan itu, saya menggesa agar segala hasil penyelidikan di UMS ini dapat diterbitkan dan disebar luaskan dalam bentuk laporan penerbitan dan buku agar dapat mengubah landskap pemikiran masyarakat negeri ini khususnya," katanya.

Masidi turut menggesa para akademia untuk memperbanyakkan menulis dan menerbitkan buku yang berkualiti serta mudah dihadam agar dapat dimanfaatkan oleh masyarakat.

Buku Sabah dalam Persekutuan Malaysia MA 63 Sebagai Kontrak Sosial merupakan sebuah kajian tesis peringkat sarjana yang telah dilakukan oleh Armizan pada tahun 2015.

Penulisan tesis yang mengambil masa dua tahun telah diselia sepenuhnya oleh Pensyarah Kanan Marja Azlima Omar, Program Hubungan Antarabangsa, Fakulti Kemanusian, Seni dan Warisan.

Armizan merupakan mantan Pengarah Biro Tatanegara (BTN) Sabah pada tahun 2016 sehingga 2017.

Untuk rekod, Armizan merupakan seorang aktor politik dan pernah memegang jawatan sebagai Pengarah Biro Tatanegara (BTN) Sabah pada tahun 2016 sehingga 2017.

Wacana Ilmiah MA63 menampilkan tiga pembicara iaitu Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS Prof. Madya Ts. Dr. Ramzah Dambul; Pensyarah Kanan Fakulti Kemanusiaan dan Warisan (FKSW) Dr. Zaini Othman dan Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia Mohd. Khair Ngadiron.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS Prof. Madya Dr. Raman Noordin dan Penerbit UMS Prof. Madya Dr. Asmiaty Amat.

Advertisement