Anda di sini

Peningkatan kadar jangkitan mengundang bahaya

Advertisement
DR. JEFFREY
DR. JEFFREY

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan, kelmarin mengumumkan 50 kes positif baharu COVID-19 dikesan daripada Kluster Benteng Lahad Datu, yang mana membabitkan seorang pegawai penjara dan ahli keluarganya, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 66 daripada kluster ini saja.

Presiden STAR Datuk Dr. Jeffrey Kitingan berkata, bersandarkan lonjakan kes dalam dalam tempoh sehari, Kerajaan Sabah dan pihak berkuasa kesihatan sewajarnya mempertimbangkan pelaksanaan perintah berkurung terhadap daerah Tawau dan kawasan sekitarnya bagi membendung penularan jangkitan COVID-19.

"Pergerakan keluar masuk penduduk dari kedua-dua daerah juga harus disekat, manakala orang luar tidak patut dibenarkan memasuki kawasan terbabit untuk tempoh 14 hari atau lebih bagi menangani sebarang penularan jangkitan.

"Peningkatan penularan jangkitan ini adalah amaran kepada masyarakat mengenai betapa mudahnya virus berkenaan mampu merebak tanpa disedari sesiapa. Ia juga memberi gambaran risiko yang amat tinggi dan kesan teruk sekiranya Pilihan Raya Negeri Sabah yang dijadualkan berlangsung pada 26 September 2020 tetap terus dilaksanakan," katanya.

Tambahnya, lebih mengeruhkan keadaan, apabila pilihan raya negeri dicetuskan angkara kedangkalan dan mungkin, sifat tidak bertanggungjawab yang dicerminkan Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) Datuk Seri Moh Shafie Apdal yang menasihatkan Ketua Negeri supaya membubarkan Dewan Undangan Negeri, sehingga menyaksikan pilihan raya mengejut terpaksa dilaksanakan.

"Pembubaran sepatutnya tidak berlaku memandangkan Shafie sudah kehilangan sokongan majoriti dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri, namun beliau tidak menunjukkan sifat seorang budiman untuk meletakkan jawatan secara terhormat dan membenarkan TYT untuk melantik Ketua Menteri baharu.

"Kawalan pergerakan penduduk amat sukar dilaksanakan, khususnya ketika hari pengundian apabila lautan pengundi akan keluar untuk menunaikan tanggungjawab mereka di kotak undi. Penjarakan fizikal sudah semestinya sukar dilaksana dan dikuatkuasakan, selari suhu kempen khususnya menjelang hari pengundian pada 26 September nanti," katanya.

Proses pengundian nanti bakal membabitkan 1.2 juta rakyat Sabah yang memerlukan mereka untuk keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing dengan beratur sebelum boleh membuang undi.

Beliau berkata, selepas pengundian, adalah tidak mustahil sekiranya negara dikejutkan dengan kemunculan kluster baharu, menjelang sekitar pertengahan Oktober, angkara pilihan raya negeri di Sabah. Ketika itu, individu yang patut dipersalahkan ialah Shafie dan TYT kerana tanpa asas mengheret situasi sebegini terjadi.

Warisan tidak sepatutnya meletakkan sandaran dan tanda aras ‘keselamatan’ pada dua pilihan raya kecil di Chini, Pahang dan Slim, Perak yang tidak mencetuskan sebarang kluster baharu. Ini kerana kedua-dua pilihan raya kecil ini hanya membabitkan, masing-masing kurang daripada 16,000 pengundi.

Selain itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), penguat kuasa dan pihak berkuasa kesihatan berupaya mengerahkan lebih ramai ahlinya ke lapangan untuk memastikan SOP sentiasa dipatuhi.

Bagi pilihan raya negeri yang meliputi 73 kerusi dan 1.2 juta pengundi, situasi ternyata amat berbeza serta beban pemantauan SOP kendalian penguat kuasa serta pihak berkuasa kesihatan sudah pasti tidak dapat dilaksanakan kerana berada di luar kemampuan mereka, belum lagi meneliti aspek kos yang perlu diperuntukkan.

SPR sebelum ini dilaporkan berkata pelaksanaan pilihan raya ketika pandemik memerlukan peruntukan kos dua kali ganda bagi menjamin aspek pematuhan SOP.

Tambahan lagi, jangkaan peningkatan kes COVID-19 bakal menambah beban kepada jabatan kesihatan dan sumber kerajaan, selain membahayakan petugas barisan hadapan dan ahl keluarga mereka.

"Kita sudah saksikan peningkatan kes rentetan gelombang ketiga dan empat daripada jangkitan COVID-19 di pelbagai negara yang lebih maju berbanding Malaysia.
 
"Oleh itu, kita perlu lebih berhati-hati dan kluster Benteng Lahad Datu ini sudah memberikan amaran awal berhubung risiko yang amat bahaya.

"Tidak tercapai dek akal mengapa sesetengah pemimpin Sabah masih memperjudikan nyawa rakyat terhadap kemungkinan risiko sebegini. Cuba menyelamatkan sebuah kerajaan yang sudah runtuh semestinya bukan alasan yang kukuh," katanya.

Advertisement