Anda di sini

Pemimpin etnik Bajau sokong tindakan Munirah

Advertisement
HANJAN
HANJAN

KOTA BELUD: Pemimpin akar umbi etnik Bajau di daerah ini menyuarakan sokongan kepada kritikan yang dibuat Ahli Parlimen Kota Belud Isnaraissah Munirah Majilis terhadap Parti Peribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mengenai keperluan kerajaan negeri dipimpin parti-parti politik yang sehaluan dengan Perikatan Nasional (PN).

Ketua Kampung Siasai Jaya Nuid Soh berasa gembira dan terharu melihat anak muda dari daerah itu tampil ke hadapan dan mengkritik seorang pemimpin dari Kuala Lumpur yang dilihat cuba menakutkan rakyat Sabah.

"Dalam keadaan politik Malaysia yang bergelora ini, pemimpin-pemimpin dari PN akan membuat apa sahaja sama ada untuk kekal berkuasa ataupun merampas kuasa.

"Keberanian Munirah untuk mengkritik kenyataan Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin itu amat membanggakan.

"Kita tidak perlu takut atau malu untuk mempertahankan apa yang betul dan kita perlu sokong dan beri semangat kepada mereka yang berani ini," katanya.

Beliau berkata, bukan mudah untuk seorang pemimpin muda dari Sabah untuk tampil dan mempertahankan maruah dan hak-hak Sabah lebih-lebih lagi jika pemimpin itu ialah seorang perempuan muda.

Katanya, tekanan demi tekanan untuk melemahkannya sudah pasti akan dibuat seperti fitnah dan penghinaan.

"Tapi saya yakin, etnik Bajau di Kota Belud ini sudah pasti akan bangkit membantu Munirah bersama-sama dengan etnik yang lain seperti Kadazandusun Murut (KDM) dan Rungus.

SAIFFUDDIN
SAIFFUDDIN

"Beliau hanya mempertahankan apa yang selama ini kita hormati iaitu maruah dan martabat kita semua sebagai bangsa Sabah," katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Kota Belud Saifuddin Zaman, 58, berkata, tindakan Munirah itu menunjukkan kualitinya sebagai seorang pemimpin yang mahu membawa erti kemerdekaan kepada Sabah sepertimana yang pernah ditunjukkan oleh Tun Mustapha dahulu.

"Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun ialah peneroka kepada idea kemerdekaan yang sebenarnya kepada rakyat Sabah khususnya etnik Bajau di sini.

"Perkataan 'Merdeka' ini juga merangkumi cara kita mentadbir dan membangunkan Negeri Sabah.

"Sekiranya kita masih memikirkan pembangunan negeri Sabah hanya boleh dicapai sekiranya kita sehaluan dengan parti-parti politik yang memerintah Putrajaya, itu bukan Merdeka namanya tetapi 'Hamba Politik'," jelasnya.

Beliau berkata, pandangan pemimpin-pemimpin PN Sabah yang mengatakan hanya Putrajaya sahaja yang boleh membawa pembangunan ke negeri ini tidak perlu didengar.

Menurutnya, golongan pemimpin seperti itu hanya malas dan takut berjuang untuk Sabah.

Bagi veteran politik yang juga Ketua Daerah Kota Belud OKK Datuk Hanjan Samit, 68, keberanian Munirah untuk menegur kenyataan yang dibuat oleh Muhyiddin itu menunjukkan kebangkitan semula pemimpin-pemimpin politik etnik Bajau di negeri ini.

"Keberanian Munirah untuk menegur Perdana Menteri mengenai isu itu menunjukkan bagaimana Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN ) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berjaya menanam sifat berjuang demi maruah dan hak-hak Sabah dalam kalangan pemimpin pelapis muda parti itu.

"Kita masih ingat bagaimana etnik Bajau mengalami zaman kemalapan politiknya bila beberapa tokoh-tokoh politik seperti Datuk Amir Kahar Tun Mustapha, Datuk Seri Salleh Said Keruak dan Tan Sri Pandikar Amin Mulia 'dicantas' oleh Musa Aman pada pilihan raya umum 2008 sedangkan mereka semua ini ialah pemimpin-pemimpin USBO ketika itu.

"Generasi muda etnik Bajau di Kota Belud dan Tuaran harus sedar untuk memudahkan agenda 'penghambaan politik' dilaksanakan di Sabah, sesiapa pun berani memperkatakan Sabah boleh berdiri di atas kaki sendiri haruslah dicantas dan inilah yang dilakukan pada 2008," jelasnya.

NUID
NUID

Menurutnya, sejarah berulang kali mengajar sesebuah etnik itu tidak mampu untuk mempertahankan maruah dan hak-hak Sabah bersendirian.

Justeru katanya, etnik Bajau di Kota Belud harus bangkit bersama-sama dengan etnik yang lain seperti KDM, Cina, Rungus, Brunei, Bisaya dan sebagainya di bawah kepimpinan Shafie Apdal.

Beliau berkata, hanya melalui kepimpinan Shafie Apdal sahaja mampu memartabatkan negeri Sabah semula dan sudah semestinya rakyat semua menyokong pemimpin yang berani ini.

Advertisement