Anda di sini

Cate Blanchett mahu dikenali sebagai seorang aktor

Advertisement
CATE BLANCHETT
CATE BLANCHETT

BINTANG Hollywood, Cate Blanchett, pada Rabu lepas berkata dia lebih suka dipanggil seorang aktor daripada seorang aktres.

Warga Australia itu, yang mengetuai juri di Festival Filem Venice, memberikan sokongannya kepada keputusan kontroversi festival Berlin pada minggu lepas untuk menamatkan hadiah menurut jantina dan hanya memberikan anugerah aktor terbaik.

“Saya selalu memanggil diri saya sebagai seorang aktor,” kata Blanchett selepas ditanya tentang langkah ke arah hadiah neutral jantina beberapa jam sebelum jambori Venice selama 10 hari yang disekat COVID-19 bermula.

“Saya adalah dari generasi di mana perkataan aktres digunakan hampir selalunya dalam makna yang tidak baik. Jadi saya menuntut ruang lain,” katanya kepada AFP.

Seakan-akan hendak membuktikan kenyataannya, dia bertanya kepada pemberita sama ada perkataan ‘maestro’ dalam bahasa Itali ada versi wanita ataupun tidak, hanya untuk diberitahu bahawa ia tidak ada.

Blanchett memegang teraju di Venice - yang pernah dikecam oleh golongan feminis kerana “kemaskulinan toksik” dalam pemilihannya - pada tahun di mana jumlah pengarah wanita yang merebut hadiah utama sudah meningkat kepada lapan orang.

“Saya berpendapat persembahan yang baik adalah persembahan yang baik, tidak kira orientasi seksual manakah yang membuatnya,” katanya kepada pemberita.

Venice dikritik hebat kerana memilih hanya seorang sahaja pembuat filem wanita untuk bersaing bagi anugerah Golden Lion pada 2017 dan 2018.

- MENDAPAT ‘KEIZINAN’ SUAMI -

Kemarahan lebih hebat lagi pada tahun lepas apabila Roman Polanski - yang dikehendaki di Amerika Syarikat kerana merogol gadis berusia 13 tahun pada 1977 - dipilih dan seterusnya memenangi hadiah kedua di festival itu untuk filem ‘An Officer and a Spy’.

Tetapi dalam tempoh menjelang festival itu - perhimpunan filem utama yang pertama sejak koronavirus melanda - Blanchett yang memenangi anugerah Oscar memberitahu majalah Variety bahawa lapan pengarah wanita pada tahun ini, satu rekod, adalah “respons langsung kepada kemajuan positif yang sudah dicapai”.

Bintang berusia 51 tahun itu telah menjadi pemain penting dalam politik jantina di Hollywood sejak pergerakan #MeToo yang dicetuskan oleh skandal Harvey Weinstein.

Dia mengetuai protes permaidani merah bagi kesamarataan oleh sekumpulan bintang dan pengarah wanita di Festival Filem Cannes dua tahun lalu.

Bintang ‘Carol’ dan ‘Elizabeth’ itu juga merupakan seorang penyokong yang terke-muka kepada pergerakan Time’s Up dan pergerakan #50/50 untuk kesetaraan jantina dan menentang gangguan seksual dalam industri perfileman ekoran keaiban Weinstein.

Pengarah veteran dari Perancis, Claire Denis, yang mengetuai juri untuk pertandingan sampingan ‘Horizon’ di Venice, berkata had hadiah menurut jantina adalah jelas apabila anda perlu “memberi hadiah kepada seseorang yang telah membawa watak seorang lelaki atau seorang wanita dan merupakan transjantina”.

Tetapi beberapa stereotaip lambat mati. Blanchett ditanya pada satu ketika dalam sidang akhbar sebelum gala pembukaan festival sama ada dia ada bertanya kepada suaminya sama ada dia dapat pergi ke Venice ataupun tidak, mengambil kira risiko gelombang kedua COVID-19.

“Suami saya berkata saya diberi keizinan untuk pergi,” jawab aktor itu dengan selamba. “Anak-anak saya pula tidak begitu teruja.”

Dia turut membuat serangan tersirat ke atas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump kerana memotong pembiayaan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ketika pandemik itu mula mengganas.

“Saya mendapati ia aneh bahawa Pertubuhan Kesihatan Sedunia tidak dibenarkan untuk memimpin cabaran global ini. Kita adalah spesies yang sangat pelik sehing-gakan kita tidak belajar daripada Itali … dan negara lain yang pertama mengalami wabak.

“Kita berkelakuan dalam cara yang agak bebal dan menyebabkan kemusnahan, sesuatu yang tidak khususnya membantu.”

Bintang itu, yang menghabiskan masa ketika sekatan pergerakan di ladangnya di selatan England bersama keluarganya, berkata “ia sangat mengujakan untuk mengadakan perbualan dengan orang dewasa” selepas dia bebas sekarang.

“Saya telah bercakap dengan ayam dan khinzir sejak beberapa bulan lalu.” — AFP

Advertisement