Anda di sini

Lawatan petani dan staf Pertanian Semporna ke Sandakan berjaya

Advertisement
 Melawat Projek Tanaman Kelapa  dan Durian di Batu 19 Sandakan.
PROJEK TANAMAN KELAPA: Melawat Projek Tanaman Kelapa dan Durian di Batu 19 Sandakan.

 

PROGRAM Lawatan Sambil Belajar yang disertai petani dan kakitangan Jabatan Pertanian Daerah Semporna ke Stesen Penyelidikan Pertanian Ulu Dusun dan Jabatan Pertanian Sandakan disifatkan sebagai amat bermanfaat dan mampu membuahkan hasil.

Rombongan terdiri daripada  sepuluh petani dan  sembilan kakitangan diketuai Penolong Pegawai Pertanian Semporna, Azlan Bahiddaya.

Lawatan bertujuan untuk meninjau mengenai tanaman kelapa yang mempunyai potensi yang amat baik sebagai sumber pendapatan baru.

Permintaan untuk benih kelapa meningkat disebabkan peningkatan permintaan  terhadap produk hiliran kelapa dari dalam dan luar negara.

Jabatan Pertanian juga kini sedang membangunkan industri kelapa melalui pengeluaran benih bermutu tinggi.

Dalam lawatan itu, peserta program dibawa melawat plot kelapa di Stesen Penyelidikan Pertanian Ulu Dusun.  

Peserta juga diberikan taklimat mengenai Stesen Penyelidikan Pertanian Ulu Dusun yang ditubuhkan pada 1962 menjurus kepada program pembiakan tanaman bermutu dan keberhasilan tinggi serta meningkatkan amalan penanaman yang baik.

Pada mulanya ia hanya bertumpu kepada kelapa sawit, kemudian   berkembang merangkumi koko, kelapa, buah-buahan,peach palm, buluh herba serta tanaman lain untuk kepelbagaian dan keperluan pengeluaran makanan.

Peserta juga dibawa melawat projek tanaman kelapa dan durian di Batu 19 Sandakan dan melawat pusat Pemprosesan Durian Belanda di Batu 7 Sandakan dan berkunjung ke Kebun Durian Musang King milik Walter Wong di TV Hill Resort dan melihat mengenai potensi tanaman durian.

Lawatan sambil belajar petani dan staf Jabatan Pertanian Semporna untuk melihat potensi tanaman kelapa untuk dibangunkan sebagai industri yang mampu mendatangkan pulangan yang lumayan.

Peserta yang menyertai lawatan itu berpuas hati dengan hasil lawatan sambil belajar yang diadakan di Sandakan dan berharap program seumpama itu dapat diteruskan lagi pada masa-masa akan datang.



 

Advertisement