Anda di sini

Suri rumah rugi RM9,050 kononnya menang 4WD

Advertisement

MIRI: Seorang suri rumah di sini mengalami kerugian lebih RM9,050 selepas beliau menjadi mangsa penipuan Macau Scam dipercayai berlaku di antara 29 Jun dan 4 Ogos lepas.

Ketua Polis Daerah (KPD) Miri ACP Lim Meng Seah dalam satu kenyataan di sini malam kelmarin memberitahu, mangsa yang membuat laporan polis mengenai kejadian itu pada hari sebelumnya mendakwa dia pertama kali menerima pesanan menerusi WhatsApp daripada nombor yang tidak diketahui pada 1 Jun.

“Penipu berkenaan memperkenalkan dirinya kepada mangsa dan memberitahu dia telah memenangi satu peraduan dan layak menerima sebuah kenderaan pacuan empat roda.

“Mangsa kemudian diarahkan untuk membuat pembayaran bagi cukai jalan dan insurans kenderaan tersebut,” kata Lim.

Pada 29 Jun, mangsa mendepositkan RM700 ke sebuah akaun. Sehari kemudian, mangsa diminta untuk memasukkan RM1,650 lagi ke akaun yang sama kononnya untuk caj proses penghantaran.

“Mangsa kemudian diberitahu wang berkenaan tidak mencukupi dan dia harus membuat pembayaran lagi dan pada 4 Julai, dia memasukkan wang RM1,550 lagi ke akaun yang sama.

“Mangsa juga diberitahu sebagai sebahagian daripada prosedur memenangi hadiah tersebut, dia harus menyimpan lebih banyak wang. Ini menyebabkan mangsa mendepositkan RM550 lagi pada 11 Julai ke akaun yang sama,” kata Lim.

Pada 29 Julai dan 4 Ogos, mangsa sekali lagi diberitahu untuk memasukkan lebih banyak wang ke akaun yang sama dan mangsa telah yang bersetuju telah mendepositkan RM4,600 lagi.

“Mangsa kemudian berasa ditipu dan tampil membuat laporan polis di Balai Polis Lutong pada 23 Ogos,” kata Lim.

Polis kini sedang menyiasat kes tersebut di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Advertisement