Anda di sini

Pemilik pusat hiburan nafi tuduhan merasuah pegawai imigresen

Advertisement

MIRI: Seorang pemilik pusat hiburan diperintahkan Mahkamah Khas Rasuah supaya dibebas dengan jaminan RM10,000 berserta seorang penjamin tempatan setelah menafikan tuduhan merasuah seorang pegawai imigresen.

Chin Kui Zen, 44, telah didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) (a) dan (b) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh telah dituduh memberi suapan berjumlah RM10,000 kepada Malcolm Sahat Nyipong Alex Saben selaku seorang pegawai kerajaan yang bertugas di Jabatan Imigresen sebagai dorongan agar tidak mengambil sebarang tindakan undang-undang ke atas pekerja warga asingnya yang melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 2.35 pagi, 22 Februari tahun ini di premis hiburan miliknya yang terletak di Pusat Komersil Marina di sini.

Setelah mendengar pengakuan tidak bersalah tertuduh, mahkamah kemudian menetapkan 9 Oktober depan untuk pengurusan kes.

Manakala perbicaraan lanjut pula ditetapkan pada 12 dan 13 November tahun ini.

Pendakwaan dilakukan Miller Jawoi dari SPRM Sarawak di hadapan Hakim Nixon Kennedy Kumbong. Manakala tertuduh diwakili peguam bela Ranbir Singh.

Advertisement