Anda di sini

Cerita kebajikan dalam program ‘Orang Baik-Baik’, Khamis di TV2

Advertisement

INDIVIDU dan kumpulan yang menyumbangkan kegiatan-kegiatan kemasyarakatan atau kebajikan dikongsikan kisahnya oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) dalam program diberi tajuk ‘OBB (Orang Baik-Baik)’ setiap Khamis, jam 11.00 malam di TV2.

Dalam 13 episod siarannya memberi tumpuan kepada seseorang atau sekumpulan warga yang layak diiktiraf sebagai Orang Baik-Baik (OBB) berpandukan kepada kegiatan-kegiatan kemasyarakatan atau kebajikan yang diusahakan.

Kegiatan dan kisah mereka itu akan dijejaki dan dipaparkan melalui pengalaman dan perjalanan sehari bersama mereka oleh hos program, Fimie Don dan Sweet Qismina. Menariknya di penghujung siaran, Orang Baik-Baik ini akan dikejutkan dan diraikan dengan penganugerahan trofi OBB.

EPISOD 1

Memberi fokus kepada kegiatan yang dijalankan oleh seorang pekerja kemasyarakatan yang aktif, Uncle Kuan Chee Heng, pengasas Persatuan Kepolisan Komuniti Malaysia. Beliau mendapat jolokan ‘Uncle Kentang’ kerana kerap menyumbang bahan makanan itu kepada golongan yang kurang bernasib baik. Pada rancangan ini dipaparkan pengoperasian kegiatan kemasyarakatan Uncle Kuan dan pasukannya melalui penyediaan pelbagai perkhidmatan yang bersifat kebajikan, khususnya untuk golongan yang kurang mampu.

EPISOD 2

Episod ini memberi fokus kepada kegiatan kebajikan yang dijalankan oleh Iskandar Syah Ismail (nama jolokan Doktor Badut), pengasas Red Bubbles atau gelaran lainnya Persatuan Penghibur Kanak-kanak Buih Merah KL & Selangor, sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang ditubuhkan pada tahun 2011. Misi Red Bubbles adalah bagi menghibur pesakit kanak-kanak di hospital terutamanya kanak-kanak yang menghidapi penyakit kronik.

EPISOD 3

Episod ini memberi fokus kepada ‘The Picha Project’, yang diasaskan pada awal tahun 2016 oleh tiga orang kawan, Lim Yuet Kim, Lee Swee Lin, dan Suzanne Ling. ‘The Picha Project’ merupakan satu projek keusahawanan sosial, di mana matlamat asasnya adalah untuk membantu pelarian wanita di Malaysia meningkatkan mata pencarian mereka menerusi masakan. Dalam rancangan ini dipaparkan kegiatan kemanusiaan dan kebajikan yang dijalankan melalui ‘The Picha Project’.

EPISOD 4

Fokus kepada kegiatan kebajikan yang dijalankan oleh Raja Iskandar Raja Mansor, pengasas Artattackingrajais. Misinya adalah membukakan peluang-peluang perniagaan untuk golongan OKU dan juga mengadakan aktiviti-aktiviti riadah bagi mereka. Kegiatan kebajikan dan sukarelawan yang diusahakan itu turut menjadi satu motivasi positif buat Raja Iskandar untuk mengatasi cabaran kesan strok yang dialaminya pada 2015 dan sekaligus mendorong beliau mengasaskan Artattackingrajais khususnya dalam membukakan peluang-peluang perniagaan untuk golongan OKU.

EPISOD 5

Fokus kepada Team Rescue Bencana Malaysia bersama pengasasnya Tuan Haji Mohammad Dean Lau. Team Rescue Bencana Malaysia merupakan satu pasukan penyelamat sukarelawan yang bekerjasama dengan agensiagensi kerajaan yang berkaitan dalam memberi bantuan semasa bencana alam seperti banjir, tanah runtuh, SAR dan penyelamatan di hutan. Pasukan itu dilengkapi dengan pelbagai peralatan menyelamat. Mereka mengalu-alukan badan korporat untuk terlibat dalam kegiatan mereka sebagai aktiviti tanggungjawab sosial korporat. Mereka juga sedia memberi latihan kepada sukarelawan yang berminat mengenai aspek-aspek pengendalian keselamatan bencana alam.

EPISOD 6

Tumpuan kepada Buku Jalanan Chow Kit, diasaskan pada awal tahun 2015 oleh Cikgu Siti Rahayu Baharin, merupakan satu projek kebajikan sosial, di mana matlamat asasnya adalah untuk mengajar anak-anak terbiar membaca dan mengira di kaki lima Jalan Chow Kit. Buku Jalanan Chow Kit yang bergerak sepenuhnya dengan tajaan orang ramai dan badan korporat, kini beroperasi setiap hari di sebuah rumah kedai secara tetap di Lorong Haji Taib 1, Jalan Chow Kit. Dalam rancangan ini dipaparkan kegiatan yang dijalankan melalui Buku Jalanan Chow Kit demi menyediakan tempat yang selamat untuk kanak-kanak yang kurang bernasib baik di sekitar Chow Kit mendapatkan kesamarataan pendidikan secara percuma.

EPISOD 7

Fokus kepada S.I (Seroja Inn) Home Shelter yang diasaskan oleh Muhammad Razeef dan isterinya Nurul Ain Abdul Hamid di Shah Alam. Ia merupakan satu pusat jagaan dan perlindungan kucing yang beroperasi secara bebas, dan bukan untuk keuntungan. Pusat ini ditubuhkan atas keinginan untuk menyelamat kucing terbiar, termasuk yang mengalami kecacatan dan kecederaan akibat penyakit serta kemalangan dan terdorong oleh rasa simpati terhadap nasib haiwan itu. Dalam rancangan ini dipaparkan kegiatan yang dijalankan melalui S.I Home Shelter dalam menyediakan tempat yang selamat untuk kucing yang terbiar dan sakit.

Ikuti lebih banyak lagi episod menarik menerusi program hebat ini pada setiap Khamis, di TV2.

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my) ataupun melalui aplikasi rtm mobile.

Advertisement