Anda di sini

Penerangan BERSATU Sabah turun padang sampai informasi pada rakyat

Advertisement
 Firdaus memalu gong sebagai gimik perasmian persidangan pertama BERSATU Bahagian Batu Sapi.
RASMI: Firdaus memalu gong sebagai gimik perasmian persidangan pertama BERSATU Bahagian Batu Sapi.

SANDAKAN: Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah akan turun padang menyampaikan informasi melalui saluran sedia ada dalam rangka persediaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada September ini.

Ketua Penerangannya, Khairul Firdaus Datuk Akbar Khan berkata Penerangan BERSATU Sabah memilih strategi tersendiri untuk menghadapi PRN ini.

 “Dalam minggu hadapan, Penerangan BERSATU akan mengadakan mesyuarat dengan Penerangan di 25 Bahagian, dan selebihnya kita tidak boleh kongsi di sini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pertama BERSATU Bahagian Batu Sapi di Dewan Masyarakat, semalam.

Beliau yang juga Ketua BERSATU Bahagian Batu Sapi berkata BERSATU sudah bersiap sedia menghadapi PRN dan tidak akan gentar berdepan dengan pihak lawan.

“Formula terbaik untuk menghadapi pilihan raya ini dengan memastikan permuafakatan yang lebih erat antara komponen Perikatan Nasional (PN) dan gabungnya.

“Saya yakin kerjasama padu akan dapat meletakkan kepercayaan rakyat terus memberikan sokongan tidak berbelah-bagi kepada gabungan tersebut,” katanya.

Firdaus tidak menolak muka-muka baharu yang akan ditampilkan pada PRN Sabah kali ini merupakan satu kombinasi cukup baik walaupun kedudukan antara calon dan parti adalah 50-50.

Dalam pada itu, beliau juga yakin permuafakatan Muafakat Nasional (MN) sebagai satu pasukan akan membantu gabungan berkenaan mengambil-alih tampuk pemerintahan Kerajaan Negeri dalam PRN ini.

“Yang penting tahap kerjasama perlu diperkukuhkan antara  BERSATU, UMNO dan PAS serta gabungan memandangkan MN akan berdepan dengan penyandang termasuklah parti lain,” katanya.

Begitu pun, Firdaus berkata jika semua pihak bersatu hati dan menjalankan strategi tersendiri maka tidak ada masalah bagi gabungan ini memenangi PRN kelak.

"Seperti saya katakan tadi, yang penting kita harus perkukuhkan permuafakatan dalam MN sebab biasanya penyandang ada kelebihan.

"Namun demikian, kalau kita bersatu dan bekerjasama sebagai satu pasukan adalah tidak mustahil bagi kita merampas semula kerusi DUN Sekong dan DUN Karamunting termasuk juga mengambil-alih tampuk Kerajaan Negeri,” tegasnya.

Beliau berkata keadaan rakyat di peringkat akar umbi sekarang sememangnya dahagakan suatu pembaharuan.

“Jadi kita akan berusaha menarik keyakinan rakyat untuk terus menyokong parti yang menjadi platform terbaik kepada mereka,"katanya.

Turut hadir, Yang Dipertua (YDP) PAS Batu Sapi Ahmad Supu, Naib YDP PAS Batu Sapi Norsah Bongsu dan Ketua Pemuda PAS Batu Sapi Masru Mustakim.


 

  • oleh
  • Advertisement