Anda di sini

Ketua cawangan digesa tambah ahli dalam usaha perkasakan BERSATU

Advertisement
 Firdaus (dua kiri) menerima kemasukan ahli baharu BERSATU Bahagian Batu Sapi.
AHLI BAHARU: Firdaus (dua kiri) menerima kemasukan ahli baharu BERSATU Bahagian Batu Sapi.

SANDAKAN: Ketua-ketua cawangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah perlu giat menambah ahli parti dalam usaha memperkasakan BERSATU di peringkat bahagian dan cawangan di negeri ini.

Ketua Penerangan BERSATU Sabah Khairul Firdaus Datuk Akbar Khan berkata usaha menambah keahlian ini perlu dilakukan kerana kita sedar parti BERSATU baharu ditubuhkan di negeri ini.

“Banyak perkara lagi harus perlu kita lakukan, untuk memastikan parti ini diterima oleh rakyat di negeri ini dalam keadaan yang cukup baik,” katanya ketika merasmikan Persidangan Pertama BERSATU Bahagian Batu Sapi di Dewan Masyarakat, semalam.

Beliau menggesa ketua-ketua cawangan BERSATU perlu menggiatkan lagi usaha menambah keahlian parti di peringkat cawangan masing-masing.

“BERSATU adalah parti baharu mempunyai prospek yang besar kerana Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berjuang atas keikhlasan melebihi segala-galanya,” katanya.

Dalam pada itu, Firdaus juga mahu Ahli Jawatankuasa (AJK) BERSATU di peringkat Bahagian agar turun padang merapatkan diri dengan masyarakat.

“AJK Bahagian perlu mengambil sikap turun padang dengar mendengar, melihat dan menyelami permasalahan yang dihadapi rakyat dalam memastikan rakyat terus mendapat pembelaan yang sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata tiada noktah selagi kita sebagai seorang pemimpin politik akan terus berkhidmat dan berusaha membela rakyat pelbagai peringkat.

 Mengenai persidangan BERSATU ini, Firdaus yang juga Ketua BERSATU Bahagian Batu Sapi menjelaskan persidangan ini adalah untuk mengikut perlembagaan parti.

“Kita juga turut mengadakan pemilihan parti untuk peringkat pusat bagi jawatan Naib Presiden BERSATU, Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap dan Ahli Majlis Tertinggi BERSATU,” katanya.

Beliau berkata pemilihan parti ini dijalankan serentak dan ahli-ahli perwakilan boleh memilih calon-calon pemimpin BERSATU yang telah menawarkan diri dan layak bertanding bagi jawatan tersebut.

Pada persidangan itu, Firdaus menerima kemasukan seramai 20 orang ke dalam Parti BERSATU diketuai oleh Ramlin Silah bagi kawasan Kampung Tabah Baru dan Flat MPS manakala 20 lagi dari Bambangan.

Hadir sama, Yang Dipertua (YDP) PAS Batu Sapi Ahmad Supu, Naib YDP PAS Batu Sapi Norsah Bongsu dan Ketua Pemuda PAS Batu Sapi Masru Mustakim.

  • oleh
  • Advertisement