Anda di sini

Kedai Blockbuster terakhir tawar peluang kembali ke masa lalu

Advertisement
 Gambar bertarikh 26 Julai 2020 ini menunjukkan kedai Blockbuster terakhir yang terdapat di Bend, Oregon. — Gambar AFP
NOSTALGIA: Gambar bertarikh 26 Julai 2020 ini menunjukkan kedai Blockbuster terakhir yang terdapat di Bend, Oregon. — Gambar AFP

ADAKAH tahun 2020 terbukti terlalu sukar? Kedai Blockbuster terakhir di planet ini menawarkan peluang kepada tetamu untuk kembali ke masa lalu yang lebih sederhana dengan sajian filem bertemakan zaman 1990-an.

Satu penyenaraian Airbnb bagi kedai sewa video itu di negeri Oregon, barat laut Amerika Syarikat, berjanji untuk mengubah kedai itu kepada sebuah bilik tamu sementara ‘kerusi panjang’ yang ditarik keluar, beg kacang dan bantal untuk anda bersantai dengan ‘keluaran baharu’ dari zaman 1990-an.

Dengan bayaran hanya AS$4 (RM18.80) semalam, empat ruang akan disediakan selama tiga malam pada September.

“Apabila anda menghubungi kedai untuk penginapan ini, anda menempah malam pada zaman 1990-an, tetapi kali ini anda tidak perlu merayu kepada ibu bapa anda untuk menyewa filem seram terkini — kami akan memberikan anda kunci kepada seluruh kedai!”

Kedai di Bend, Oregon, itu merupakan yang terakhir daripada satu rangkaian yang mempunyai lebih 9,000 kedai di seluruh dunia di kemuncaknya pada awal tahun 2000.

Blockbuster mengalami kemerosotan yang ketara ekoran kemunculan platform penstriman seperti Netflix.

Tetapi penduduk Bend masih setia kepada proses lama mencari-cari pita VHS dan DVD fizikal sebelum mereka memulangkannya menerusi satu slot beberapa hari kemudian.

Ia juga telah menjadi destinasi pelancong yang popular.

Sejak beberapa tahun lalu, aliran peminat nostalgik yang tidak putus-putus telah mengambil swafoto di luar, dan masuk ke dalam untuk membeli gula-gula ‘kitsch’ dan melihat memorabilia filem retro termasuk jaket Russell Crowe dari ‘Les Miserables’.

Tetapi selepas pandemik melemaskan pelancongan, “kami merindui lawatan yang tetap dari rakan-rakan, jiran-jiran dan pelancong dari seluruh dunia,” kata penyenaraian itu.

Iklan itu berjanji untuk mensanitasi kedai sebelum setiap kumpulan tetamu tiba, dan menyediakan pelitup muka, tisu disinfektan dan pensanitasi tangan selain snek percuma dan permainan video.

“Dan ingat, seluruh kedai itu milik anda pada malam itu!” katanya.

“Jadi bersantailah, besarkan suara ‘boombox’ dan pakai denim 90-an kegemaran anda supaya anda rasa betul-betul selesa dalam era lain.” – AFP

Advertisement