Anda di sini

Ancaman sempadan di Sabah menurun 34 peratus

Advertisement
 ZAINI mengunjungi Shafie sebagai simbolik sebelum berpindah ke Bukit Aman.
KUNJUNGAN HORMAT: ZAINI mengunjungi Shafie sebagai simbolik sebelum berpindah ke Bukit Aman.

KOTA KINABALU: Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass berkata ancaman sempadan menurun 34 peratus sekalipun negeri ini mempunyai keluasan yang mencabar.

Penurunan ancaman itu disifatkan oleh komitmen berterusan Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah selain faktor COVID-19 yang mengehadkan pergerakan.

"Laut dan sempadan Sabah begitu luas sekaligus menimbulkan cabaran dari segi pengekalan keamanan namun kita berjaya menurunkan ancaman," katanya.

Zaini berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di sini.

Menurutnya, keselamatan negeri ini menjadi keutamaan polis menerusi pengawasan konsisten termasuklah semenjak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Selain pencegahan ancaman menerusi rondaan laut, kita juga menjalankan pengawasan oleh Pasukan Gerakan Udara (PGU) dan Pasukan Gerakan Am (PGA)," katanya.

Beliau berkata, polis juga meningkatkan siasatan berhubung dakwaan laluan tikus yang digunakan warga asing memasuki negeri ini secara haram dari sempadan pantai timur.

Pada masa sama, beliau yang menjadi Pesuruhjaya Polis Sabah semenjak 13 Februari itu akan berpindah ke Bukit Aman, dan berterima kasih dengan kerjasama rakyat Sabah.

"Termasuklah pematuhan peraturan dalam usaha membendung penularan COVID-19, orang Sabah baik dan mengetahui betapa seriusnya ancaman pandemik ini," katanya.

Untuk rekod, jawatan Pesuruhjaya Polis Sabah yang baharu akan diisi oleh Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Datuk Hazani Ghazali.

  • oleh
  • Advertisement