Anda di sini

Perkhidmatan singkat sebagai ADUN, banyak perancangan tertangguh

Advertisement
ARIFFIN ASGALI
ARIFFIN ASGALI

SANDAKAN: Banyak perancangan pembangunan dalam tempoh lima tahun yang dirancang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekong tertangguh ekoran kemelut politik Sabah sehingga menyebabkan pembubaran DUN Sabah.

Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekong Ariffin Asgali berkata banyak perancangan pembangunan yang dirancang telah terbantut ekoran tempoh berkhidmat kepada rakyat hanya 27 bulan.

“Kemulut politik yang berlaku sehingga Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Haji Apdal membuat keputusan membubarkan DUN Sabah adalah satu langkah yang baik bagi menyerahkan semula mandat rakyat,” katanya.

Beliau menyokong tindakan Ketua Menteri itu walaupun masih banyak agenda pembangunan yang dirancang oleh pihak kerajaan tertangguh.

Ariffin yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri sendiri berkata banyak juga perancangan yang dirancang untuk tempoh 5 tahun untuk kawasan DUN Sekong tetapi  tidak semua mampu dilaksanakan.

 "Tetapi ada juga perancangan yang telah dilaksanakan seperti  mewartakan perkampungan di Kampung Bakau Batu Sapi seluas 22 ekar.

"Ada empat kampung lagi yang sepatutnya diwartakan sebagai perkampungan pada tahun ini tetapi disebabkan pembubaran DUN maka perancangan terbabit terhenti perlaksanaannya," katanya.

Ariffin berkata sedangkan permohonan status mewartakan empat perkampungan itu sudahpun berada di  Jabatan Tanah yang mana hanya menunggu  tinggal untuk elusi meeting.

"Beberapa perancangan lagi yang kita telah rancang sepatutnya dalam tempoh lima tahun  telah terbantut ekoran tempoh perkhidmatan yang amat singkat.

“Sebagai contoh, masjid di Taman Mawar yang telah diluluskan dan projek itu sepatutnya  dilaksanakan tahun ini telah tertangguh ekoran DUN telah dibubarkan,” katanya.

Beliau berkata begitu juga dengan perstrukturan semula perkampungan yang juga tidak terlaksana.

“Perancangan utama saya telah mencadangkan pembinaan bangunan pasar tersusun di tingkat bawah dan tingkat atas menempatkan pusat rekreasi seperti gelanggang futsal dan bola tampar di letakkan di atas dengan nilai anggaran RM 5 juta,” katanya.

Ariffin berkata bangunan pasar tersusun yang turut menempatkan pusat rekreasi sukan dicadangkan di tapak gerai Flat MPS.

“Ini juga perancangan yang masih tertangguh dan tidak pada direalisasikan sedangkan perancangan ini telah kita mohon bagi tindakan Majlis Perbandaran Sandakan,” katanya.

Dalam keputusan Pilihan Raya Umum 14 (PRU14) bagi DUN Sekong, Ariffin selaku calon WARISAN memenangi kerusi itu dengan mendapat 6,470 undi, menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Samsudin Yahya memperolehi 4,705 undi, calon PAS Sahar Abdul Majid (366), calon Star Abdul Rashid Abdul Rahman (48), calon Bebas Datu Mohd Faisal Datu Bachyiyal (43) dan calon Parti Kebangsaan Sabah (PKS) Alias Rahman Benjamin (16).


 

  • oleh
  • Advertisement