Anda di sini

CIDB periksa dua tapak pembinaan

Advertisement
 Pegawai CIDB bersama pegawai pelbagai agensi penguatkuasaan memeriksa tapak pembinaan.
PERIKSA: Pegawai CIDB bersama pegawai pelbagai agensi penguatkuasaan memeriksa tapak pembinaan.

SANDAKAN: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Cawangan Sandakan melaksanakan Program Operasi Penguatkuasaan Bersepadu COVID-19 antara Jabatan 2020 bersama beberapa agensi penguatkuasa kerajaan di negeri ini bagi memastikan pematuhan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) dan peraturan di tapak projek dipatuhi.

Peraturan yang dikuatkuasakan termasuklah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) Kementerian Kesihatan Malaysia serta Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994 (Akta 520) serta peraturan yang ditetapkan oleh agensi masing-masing ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula berkuatkuasa sejak Mac lalu.

Pengurus CIDB Cawangan Sandakan Hanif Abdul Rahman berkata operasi disertai 32 anggota keseluruhan termasuklah Jabatan Kesihatan Negeri  Sabah (JKNS), Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) serta Akedemi Binaan Malaysia (ABM) dan Jabatan Pertahanan Awam (JPA).

“Selain mewujudkan kerjasama antara jabatan, operasi ini juga meningkatkan kesedaran kepada pemain industri terhadap budaya norma baharu untuk menangani penularan wabak COVID-19 di tapak pembinaan berpandukan kepada SOP yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara,” katanya.

Setakat ini, beliau berkata CIDB berjaya memeriksa sebanyak 1060 tapak projek dan statistik pemantauan mendapati sebanyak 93.84 peratus tapak beroperasi di seluruh Sabah.

“Hasil pemeriksaan Penguatkuasa CIDB berkaitan Pendaftaran Kontraktor mengikut Seksyen 25 dan Kewajipan Kontraktor bagi Seksyen 34(1)(b), semua tapak pembinaan dan kontraktor mematuhi SOP di tapak bina semasa tempoh PKPP.

“Walau bagaimanapun, terdapat beberapa amaran secara lisan dikeluarkan kepada kontraktor yang gagal mematuhi sebahagian SOP MKN dalam jumlah yang sedikit,” katanya.

Bercakap lanjut berkenaan operasi terbabit, beliau berkata operasi yang dijalankan pada pertengahan Ogos itu berjaya memeriksa 2 kontraktor  utama dan  2  Subkontraktor manakala 49 pekerja diperiksa termasuk 23 pekerja asing dan 26 warga tempatan.

Beliau berkata CIDB juga mengeluarkan 5 notis kepada kontraktor atas beberapa kesalahan termasuk menggajikan pekerja tidak memilik kad personal binaan (Kad Hijau)  dan menggajikan pekerja yang tidak diakreditasi .

Hanif berkata satu tapak telah diarah tutup kerana tidak memiliki sijil perakuan yang sah daripada CIDB Malaysia dan  gagal mematuhi SOP yang ditetapkan oleh MKN dan KKM.

“Notis N.9 iaitu notis arahan hadir ke pejabat CIDB Sandakan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata MPS akan mengeluarkan notis berhenti kerja untuk sebuah tapak atas kesalahan undang-undang kecil bangunan Majlis Perbandaran Sandakan terhadap sebuah tapak kerana tidak mempunyai pelan kelulusan dari MPS.

“Manakala, JKNS mengeluarkan 2 kompaun terhadap 2 tapak pembinaan atas kesalahan penemuan pembiakan nyamuk di dalam bangunan tapak bina dan kesalahan tiada penjarakkan sosial  serta pemeriksaan kesihatan setiap pekerja dan tidak memakai pelitup muka. Notis kompaun peraturan 10 akta 342 dikenakan,” katanya.

Beliau berkata JKKP mengeluarkan 14 notis 1 kompaun atas pelbagai kesalahan dan diarah hadir ke JKKP untuk tindakan lanjut.

“Bagi penguatkuasaan Pendaftaran Kontraktor, mana-mana kontraktor yang gagal untuk mendaftar dengan CIDB, mereka boleh dikenakan denda antara RM10,000 hingga RM100,000 mengikut Seksyen 29 jika disabitkan bersalah.

“Untuk pelanggaran mengikut Kewajipan Kontraktor, mana-mana kontraktor yang gagal mengikuti peraturan ini, kontraktor boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 dan kewajipan kontraktor adalah seperti tanggungjawab kontraktor untuk mengemaskini maklumat terkini kepada CIDB, memastikan kerja-kerja pembinaan dibuat berlandaskan Akta 520 dan akta berkaitan selain memastikan keselamatan bangunan dan kerja pembinaan sama ada semasa atau selepas kerja pembinaan,” katanya.

Setakat ini, Hanif berkata CIDB Sabah telah membuka 28 kertas siasatan atas pelbagai kesalahan.

Beliau juga mengingatkan agar pemain industri sentiasa mematuhi lima skop CIDB iaitu Pendaftaran Kontraktor, Levi, Personel Binaan, Akreditasi dan Bahan Binaan.

  • oleh
  • Advertisement