Anda di sini

Cabul gadis bawah umur, pemuda dipenjara enam tahun

Advertisement
 

KUCHING: Seorang pemuda dipenjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, kerana mencabul seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang sedang menunggu durian jatuh di sebuah pondok di Sematan, Oktober tahun lalu. 

Hakim Jason Juga turut mengenakan satu sebatan terhadap tertuduh yang mengaku bersalah mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Kanak-kanak 2017 dan dihukum di bawah Seksyen 14 Akta sama.

"Hukuman penjara berjalan mulai hari ini. Tertuduh juga diperintahkan untuk menjalani kaunseling pemulihan semasa tahanan dan pengawasan polis selama setahun sebaik selesai hukuman penjara," ujar Jason semasa menjatuhkan hukum. 

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja tersebut dengan menyentuh payudara dan kemaluannya untuk tujuan seksual. 

Perbuatan itu didakwa dilakukannya pada 20 Oktober 2019, jam 3.30 pagi di dalam sebuah pondok durian terletak di Kampung Temaga Dayak, Sematan. 

Berdasarkan keterangan kes, mangsa yang tertidur di pondok tersebut semasa menunggu durian jatuh, terus terbangun apabila menyedari payudara sebelah kanan dan kemaluannya disentuh oleh seorang individu dari belakang. 

Mangsa terus menepis tangan individu tersebut dan seterusnya melarikan diri ke rumahnya, yang juga berada berdekatan dengan pondok durian itu. 

Semasa melarikan diri juga, mangsa sempat menoleh ke belakang dan mengenali lelaki berkenaan (tertuduh), yang tinggal di kampung sama dengannya. 

Pihak pendakwaan, Timbalan Pendakwa Raya Nurfadzlin Mahmad Zulhasnan memohon agar tertuduh dikenakan hukuman berat berikutan mangsa trauma akibat kejadian tersebut, selain mengambil kira faktor usia mangsa yang masih bawah umur. 

Hukuman berat juga katanya, akan dapat dijadikan pengajaran kepada orang awam. 

Tertuduh tidak diwakili peguam. 

  • oleh
  • Advertisement