Anda di sini

Buat 'legal commitment' laksana MA63

Advertisement
MOHAMAD
MOHAMAD

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kimanis Datuk Mohamad Alamin menggesa Kerajaan Persekutuan supaya membuat 'legal commitment' dalam pelaksanaan semua tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat baru-baru ini, beliau menimbulkan isu bahawa sudah tiba waktunya satu persepakatan dibuat dengan secara komitmen penuh dalam pelaksanaan perjanjian berkenaan.

"Kita tahu soal tuntutan-tuntutan yang terkandung dalam MA63 itu termasuk juga soal tuntutan hak minyak terhadap Sabah dan Sarawak dan rakyat tahu, apa hak mereka, apa hak Sabah apa hak Sarawak, rakyat semua tahu.

"Cuma pada hakikatnya speaker, bolehkah saya minta atau bersediakah tidak kerajaan menyediakan satu 'legal commitment' dengan izin, 'legal commitment' diberikan untuk menyakin rakyat Sabah dan Sarawak bahawa semua tuntutan itu akan dilaksanakan mengikut jadual dan sebagainya," katanya.

Mohamad berkata demikian ketika mengulas perbahasan daripada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Hanifah Hajar Taib di Dewan Rakyat, pada Isnin.

Hanifah dalam sidang berkenaan bagaimanapun berkata, kerajaan akan memuktamadkan komposisi penubuhan Majlis Khas bagi semakan terhadap MA63 pada tempoh terdekat ini.

Jelasnya, penubuhan majlis itu akan dibawa ke Kabinet dan mendedahkan, satu jawatankuasa melibatkan Sabah dan Sarawak bagi membincangkan isu minyak dan gas serta pemberian khas telah ditubuhkan sebelum ini.

  • oleh
  • Advertisement