Anda di sini

Serena bersedia sertai Terbuka AS

Advertisement
SERENA WILLIAMS
SERENA WILLIAMS

LOS ANGELES: Serena Williams berkata pada Sabtu bahawa beliau akan meneruskan perancangan untuk bermain di Terbuka AS walaupun dengan penarikan diri beberapa pemain utama dari kejohanan Grand Slam itu ekoran kebimbangan tentang koronavirus (COVID-19).

Jaguh tenis AS itu kembali ke gelanggang  tenis minggu hadapan pada kejohanan sulung Terbuka Top Seed di Lexington, Kentucky, memulakan semula musim beliau selepas enam bulan tertangguh ekoran pandemik COVID-19.

Williams, yang merupakan salah seorang pemain pertama yang mengesahkan penyertaan di Terbuka AS walaupun semasa pandemik, berkata perancangan beliau tidak berubah sambil menambah beliau juga merancang untuk berkunjung ke Eropah untuk kejohanan Terbuka Perancis, yang dijadualkan semula dari bulan Mei ke bulan September.

“Saya melihat diri saya melakukan semua itu jika ia berlaku,” kata Williams apabila ditanya tentang jadual beliau semasa sidang media maya pada Sabtu.

“Tetapi saya tidak merancang untuk masa hadapan, ketika kejohanan dibatalkan saya seperti ‘saya hanya memikirkan tentang perkara semasa lihat apa yang berlaku’.”

Bekas pemain nombor satu dunia itu berkata beliau menghabiskan enam bulan terakhir di kediamannya di Florida, menyembunyikan diri dari ancaman COVID-19.

Williams mempunyai sejarah kesihatan jantung, satu faktor yang menyebabkan beliau untuk “berehat sedikit” tahun ini.

“Saya sudah memulakan penjarakan sosial pada awal bulan Mac,” kata beliau.

“Saya tidak mempunyai kemampuan penuh jantung, jadi saya tidak pasti apa yang akan berlaku. Saya pasti saya Ok tetapi saya tidak mahu mencuba mengetahuinya. Saya mempunyai hampir 50 pelitup muka bersama saya setiap masa.”

Beliau mendedahkan bahawa beliau berlatih di gelanggang beliau sendiri, dibina dengan permukaan yang sama seperti di Terbuka AS. Beliau juga kekal cergas dengan pembinaan gim di kediamannya.

Williams, yang juga dijadualkan bermain pada kejohanan persediaan Terbuka Western and Southern, mengakui satu-satu kejohanan persediaan ini akan memberikan beliau tahap sebenar kecergasannya.

“Semua orang mempunyai peluang untuk lebih cergas sekarang kerana kita menghabiskan banyak masa di rumah sebelum ini,” kata Williams.

Pemain yang akan mencecah usia 39 tahun pada bulan September itu juga tidak dapat berkata sama ada beliau akan beraksi di Sukan Olimpik Tokyo, yang dipindah dari tahun ini ke tahun hadapan kerana COVID-19.

“Ia perancangan yang masih terlalu jauh. Saya tidak tahu jika Olimpik Tokyo akan tetap diadakan, kita akan tunggu dan lihat,” kata beliau.

“Saya tidak tahu apa untuk dijangkakan. Satu perkara yang saya pelajari ialah, jangan merancang. Saya hidup pada keadaan semasa dan satu cara yang baik ialah tidak merancang terlalu jauh ke hadapan.” — AFP

Advertisement