Anda di sini

Ekonomi di bawah kerajaan dahulu lebih memberangsangkan

Advertisement
 Nizam mempengerusikan mesyuarat Bersatu bahagian Tawau.
MESYUARAT : Nizam mempengerusikan mesyuarat Bersatu bahagian Tawau.

TAWAU : Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tawau, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan mendakwa pertumbuhan ekonomi negeri Sabah sewaktu kerajaan dahulu lebih memberangsangkan berbanding sekarang.

Beliau berkata, kita dapat melihat Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2018 mencapai sehingga 1.5 peratus manakala tahun 2019 selepas kerajaan baharu memerintah merosot sehingga 0.5 peratus.

"Ini bermakna pada tahun 2017 pertumbuhan ekonomi negeri cukup baik dan memberangsangkan sehingga kita dapat mencapai kira-kira 8 peratus KDNK," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan pada Mesyuarat Ahli Jawatankuasa (AJK) Bersatu Bahagian Tawau di Bilik Mesyuarat Bersatu, di sini.

Menurutnya, kerajaan pada hari ini dilihat hanya suka membuat pengumuman tetapi hasilnya tidak ada, apa yang mereka buat sekarang meneruskan kerja yang dibuat kerajaan lama.

"Program jelajah menyerahkan geran tanah yang mereka sedang lakukan ketika ini merupakan kesinambungan daripada usaha baik dan agenda yang diadakan semasa kepimpinan oleh Tan Sri Musa Aman.

"Penyerahan geran itu, hanya untuk memancing undi dan menagih perhatian rakyat kerana itu sudah dibuat oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini untuk membantu rakyat yang mempunyai tanah tetapi belum memiliki geran,"katanya.

Nizam yang juga Adun Apas berkata, rakyat perlu menilai sama ada yang dilakukan oleh Warisan itu adalah fakta atau hanya menutup kelemahan pemimpin mereka.

Mengulas mengenai mesyuarat itu pula, Nizam berkata, ianya diadakan untuk memperkuat dan memperkemas jentera Bersatu Tawau untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berkemungkinan berlaku pada bila-bila masa.

"Kami memastikan setiap laporan daripada Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang dilantik diperkemaskan dan mana-mana kekurangan akan diperbaiki supaya segala gerakan PRN mencapai sasaran.

"Kami akan memastikan semua kerusi di kawasan Tawau yang dipertandingkan kelak akan memperolehi kemenangan termasuklah semua calon di bawah Perikatan Nasional (PN)," katanya.

Selain itu, mesyuarat ini juga membincangkan supaya mengadakan mesyuarat bahagian yang akan diadakan pada 22 Ogos dan juga peringkat sayap Srikandi dan Armada  pada 15 dan 16 Ogos.

  • oleh
  • Advertisement