Anda di sini

Pesawat terhempas, 18 terbunuh ribut melanda lapangan terbang di India

Advertisement
 Pegawai memeriksa bangkai jet Air India Express di Lapangan Terbang Antarabangsa Calicut di Karipur, Kerala, semalam. — Gambar AFP
SIASAT: Pegawai memeriksa bangkai jet Air India Express di Lapangan Terbang Antarabangsa Calicut di Karipur, Kerala, semalam. — Gambar AFP

KOZHIKODE: Ribut kencang dan hujan lebat memukul sebuah pesawat yang membawa 190 orang sebelum ia melakukan pendaratan kecemasan dan terputus dua di sebuah lapangan terbang di selatan India, membunuh sekurang-kurangnya 18 orang dan mencederakan puluhan lagi, kata pegawai semalam.

Pesawat Air India Express Boeing 737 itu, yang melakukan penerbangan khas dari Dubai untuk membawa balik warga India yang terkandas di luar negara disebabkan oleh pandemik koronavirus, melepasi landasan di Kozhikode dalam negeri Kerala lewat kelmarin, terjunam ke bawah tambak dan pecah dua, menurut laporan pertama.

“Bahan bakar  telah bocor, jadi ia adalah satu keajaiban bahawa pesawat itu tidak terbakar, jika tidak jumlah kematian pasti jauh lebih tinggi,” kata seorang pegawai kecemasan kanan di tempat kejadian.

Penumpang Renjith Panangad, 34, menceritakan bagaimana pesawat itu menyentuh bumi dan kemudian segalanya menjadi “kosong”.

“Selepas ia terhempas, pintu kecemasan terbuka dan saya mengheret diri keluar,” katanya kepada AFP.

“Bahagian depan pesawat sudah tiada lagi. Saya tidak tahu bagaimana saya dapat hidup tetapi saya bersyukur.”

Menteri penerbangan Hardeep Singh Puri berkata jumlah kematian sudah meningkat pada waktu malam kepada 18.

Mangsa yang terkorban termasuk dua orang juruterbang selain bayi berusia 10 bulan dan 18 bulan, menurut senarai hospital yang dilihat oleh AFP.

Sekurang-kurangnya 15 orang mengalami kecederaan yang parah, kata doktor.

Kozhikode dianggap sebagai lapangan terbang yang rumit kerana ia mempunyai landasan atas meja dengan lereng yang curam di satu hujung.

Kerala telah dilanda banjir yang teruk sejak beberapa hari lalu dan hujan lebat turun selama beberapa jam di Kozhikode ketika jet berkenaan mendarat.

Media India memetik pegawai kawalan trafik udara dan sebuah laman sesawang penjejak penerbangan sebagai menunjukkan bahawa pesawat Boeing 737 itu dua kali melakukan pusingan dan mula mendarat sebelum ia terhempas pada cubaan ketiga. — AFP

Advertisement