Anda di sini

Kemiskinan di Sarawak perlukan perhatian segera - PAS Sarawak

Advertisement
 

KUCHING: Ketua Penerangan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Sarawak, Zharudin Narudin (gambar) menggesa kerajaan negeri menggandakan usaha untuk menangani kemiskinan di Sarawak, khususnya di kawasan luar bandar.

Menurut beliau, kadar kemiskinan di Sarawak lebih tinggi iaitu sebanyak 15.2 peratus berbanding 8.8 peratus di peringkat nasional.

"Seperti yang dilaporkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia 2019, Kadar Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi (MPI) di Sarawak adalah 0.0303 peratus.

"Lima kawasan tertinggi kadar kemiskinan mutlak di Sarawak adalah Pusa (38.6 peratus), Tebedu (28.7 peratus), Matu (24.1 peratus), Kabong (23.0 peratus) dan Betong (22.4 peratus)," jelasnya menerusi satu kenyataan media, hari ini. 

Angka tertinggi seperti di kawasan Pusa jelasnya, memerlukan perhatian segera dan semaksimum oleh kerajaan negeri.

"Majoriti kawasan yang tinggi kadar kemiskinan mutlak ini adalah rata-rata daripada mereka mendiami kawasan pesisir pantai luar bandar Sarawak. 

"Sehubungan itu, usaha lebih gigih diperlukan bagi membasmi masalah terbabit dengan memastikan fungsi wakil rakyat bergerak untuk melaksanakan tanggungjawabnya," katanya. 

Dalam pada itu, PAS Sarawak turut meluahkan rasa kesal terhadap kemudahan air bersih di sini. 

"Kampung Beladin di daerah Pusa umpamanya, telah mengalami ganguan tekanan air rendah yang menyukarkan kehidupan harian penduduk sehingga ke hari ini tanpa ada penjelasan dari pihak berwajib," tegas beliau.

Justeru, Zharudin menggesa kerajaan negeri dan persekutuan menggembleng tenaga bagi memastikan rakyat Sarawak yang merupakan penyumbang hasil terbanyak kepada negara ini mendapat hak sewajarnya.

Walau bagaimanapun, beliau turut mengakui pelbagai usaha dan initiatif pembangunan oleh kerajaan negeri yang kian rancak bagi memastikan angka-angka bagi kadar kemiskinan ini terus menurun.

"Sebagai rekod, kadar kemiskinan relatif di Sarawak pada tahun 2019 ialah 15.2 peratus. Ia menunjukan penurunan daripada 16.8 peratus pada tahun 2016," jelasnya sambil menambah, angka ini menunjukan usaha kerajaan negeri bagi membasmi kemiskinan membuahkan hasil.

Mengulas mengenai keadaan infrastruktur asas beliau berkata, peratusan isi rumah yang mendapat kemudahan air paip di rumah pada 2019 meningkat daripada 86.0 peratus pada 2016 kepada 86.4 peratus. 

Peningkatan sebanyak 0.4 peratus ini jelasnya, membuktikan usaha dan initiatif kerajaan negeri.

"Bagi bekalan elektrik pula, ia meningkat sebanyak 0.2 mata peratus daripada 99.6 peratus pada 2016 kepada 99.8 peratus pada 2019," ujar beliau.

  • oleh
  • Advertisement