Anda di sini

Tun Juhar kesal laporan tular tidak benar

Advertisement
 Abinan (tengah) ketika menyampaikan kenyataan rasmi TYT Sabah di Istana Negeri, Kota Kinabalu.
PENJELASAN: Abinan (tengah) ketika menyampaikan kenyataan rasmi TYT Sabah di Istana Negeri, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin amat kesal dengan laporan tidak benar dan sedang tular di media sosial mengaitkan diri beliau.

Tun Juhar melalui Setiausaha Sulit, Abinan Asli, menyangkal sekeras-kerasnya dakwaan yang dibuat oleh Presiden Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia @G57, Zulkarnain Mahdar dan menyifatkannya sebagai kenyataan tidak benar dan tidak berasas sama-sekali.

Menurut Abinan, Istana Negeri tidak pernah menerima permintaan sama ada secara rasmi ataupun tidak rasmi dari pihak mantan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman untuk berjumpa dengan Yang Dipertua Negeri Sabah.

"Rombongan Tan Sri Musa serta beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang memihak kepadanya telah cuba masuk ke Istana Negeri secara paksa lebih kurang 3.50 petang pada 30 Julai lalu tanpa permohonan secara rasmi, telah disekat oleh polis.

"Istana Negeri tidak pernah mengarahkan pihak polis untuk menahan pihak Tan Sri Musa untuk memasuki kawasan Istana, sebaliknya sekatan itu dibuat oleh polis bagi mengelak berlaku perkara tidak diingini.

"Setelah mengambil kira suasana tegang yang berlaku pada masa itu dan memandangkan tiada keperluan bagi rombongan Tan Sri Musa Aman untuk berjumpa dengan Yang Dipertua Negeri kerana Dewan Undangan Negeri telahpun dibubarkan pada pagi 30 Julai 2020, maka Yang Dipertua Negeri telah tidak memperkenankan rombongan tersebut masuk ke Istana Negeri," jelasnya dalam sidang media di Istana Negeri.

Dalam pada itu, katanya, TYT menyeru rakyat di negeri ini supaya bersatu hati dan mengekalkan keharmonian kaum.

"Tuan Yang Terutama Tun mengingatkan rakyat supaya bertenang dan tidak mudah percaya berita-berita paslu serta berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan yang boleh mewujudkan ketegangan dan mengganggu-gugat keharmonian rakyat," katanya.

Kelmarin, Zulkarnain membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya membuka kertas siasatan terhadap Tun Juhar atas dakwaan menyalahgunakan kuasa membubarkan DUN Sabah.

  • oleh
  • Advertisement