Anda di sini

PGA rampas rokok, minuman keras bernilai RM1.3 juta di Desa Senadin

Advertisement
Tan (kanan) menunjukkan botol arak yang dirampas hasil serbuan ke atas sebuah rumah di Desa Senadin pada Isnin.
Tan (kanan) menunjukkan botol arak yang dirampas hasil serbuan ke atas sebuah rumah di Desa Senadin pada Isnin.

MIRI: Batalion 12 Pasukan Gerakan Am (PGA) Miri berjaya merampas sejumlah rokok, bir dan arak dipercayai seludup yang dianggarkan bernilai lebih RM1.3 juta pada Isnin.

Pegawai Pemerintah, Superintenden Tan Hiap Seng berkata rampasan itu dilakukan hasil serbuan sepasukan anggotanya ke sebuah rumah yang terletak di Desa Senadin di sini.

Bertindak atas maklumat diterima katanya, anggota dari Cawangan Risik yang terdiri daripada dua orang pegawai dan lapan anggota telah membuat serbuan ke atas rumah tersebut sekitar jam 9 pagi.

"Hasil pemeriksaan, kita telah menjumpai 1,824 kotak bir (tin), 202 kotak bir (botol), 90 kotak arak pelbagai jenis, 4,196 karton rokok putih pelbagai jenama dan 2,244 karton rokok kretek pelbagai jenis yang disimpan di dalam rumah tersebut.

"Bbagaimanapun, tiada sebarang tangkapan dilakukan berhubung rampasan itu kerana tiada individu yang tampil menuntut barangan tersebut semasa serbuan dilakukan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Tan, barangan itu dirampas kerana dipercayai barang seludup dan lari dari cukai kastam.

"Berdasarkan harga semasa nilai bir dan arak yang dirampas berjumlah RM406, 570.00 dan rokok RM936,782.80 dan ini menjadikan nilai rampasan keseluruhan adalah RM1,343,352.80 termasuk cukai," ujar beliau lanjut. 

Dalam pada itu menurut beliau, hasil siasatan awal pihaknya mendapati rumah itu dijadikan tempat penyimpanan sementara barang seludup tersebut sebelum diedarkan ke kedai-kedai di sekitar kawasan Senadin, Kuala Baram, Permyjaya dan Lutong. 

Sehubungan itu kata Tan, barang yang dirampas akan diserahkan kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Miri untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

  • oleh
  • Advertisement