Anda di sini

Orlando kejutkan LA FC dalam suku akhir MLS

Advertisement
 Pasukan Orlando City meraikan kejayaan mereka menewaskan Los Angeles FC sekali gus mara ke separuh akhir Kejohanan MLS di Reunion, Florida AS. — Gambar AFP
RAIKAN BERSAMA: Pasukan Orlando City meraikan kejayaan mereka menewaskan Los Angeles FC sekali gus mara ke separuh akhir Kejohanan MLS di Reunion, Florida AS. — Gambar AFP

ORLANDO: Bekas bintang Manchester United Nani menjaringkan gol kemenangan apabila Orlando mengejutkan Los Angeles FC dalam penentuan tendangan penalti untuk mara ke peringkat separuh akhir kejohanan sambungan semula Liga Bola Sepak Utama (MLS) kelmarin.

Nani, pemain antarabangsa Portugal yang menyaksikan tendangan penaltinya diselamatkan dalam masa biasa sebelum perlawanan berakhir dengan keputusan seri 1-1, tidak melakukan kesilapan dalam penentuan tendangan penalti dengan tendangan pasukannya yang kelima dan terakhir.

Pemain berusia 33 tahun itu mengelirukan penjaga gol Los Angeles, Kenneth Vermeer, sebelum dia berpusing dan dikerumuni rakan sepasukan yang gembira di ESPN’s Wide World of Sports Complex di Disney World, Florida.

Nani telah diberi peluang untuk memastikan kemenangan dalam penentuan yang tegang dan menyaksikan Los Angeles menyerahkan inisiatif apabila pemain pertahanan veteran Jordan Harvey melakukan tendangan yang terkena palang gol.

Terdahulu Los Angeles nampak seperti menuju tempat pada peringkat separuh akhir selepas Bradley Wright-Phillips menjaringkan gol dari jarak dekat pada minit ke-64 untuk meletakkan pasukan pilihan itu 1-0 di depan.

Gol itu dijaringkan hanya beberapa minit sahaja selepas Vermeer menafikan Nani dari petak penalti ekoran kekasaran cemerkap Diego Palacios ke atas pemain pertahanan kanan Orlando, Ruan,

Namun apabila perlawanan semakin meletihkan, Los Angeles terpaksa bertahan manakala Orlando memburu gol penyamaan.

Ia tiba pada minit ke-90 apabila tendangan sudut Nani dari sebelah kanan disambut oleh pemain pertahanan kiri Joao Moutinho, untuk menjaringkan gol dengan satu tandukan kencang.

Orlando akan akan menentang sama ada San Jose Earthquakes atau Minnesota pada peringkat separuh akhir.

Tetapi ia adalah penyingkiran awal yang mengecewakan bagi Los Angeles, yang kelihatan berada di landasan utnuk piala pertama mereka selepas mencatatkan kemenangan besar 4-1 ke atas juara Piala MLS Seattle pada peringkat 16 terakhir.

Kejohanan sambungan semula ‘MLS is Back’ berlangsung di Disney World di Orlando seleaps penutupan selama empat bulan akibat COVID-19 yang menamatkan musim biasa pada Mac lalu. — AFP

Advertisement