Anda di sini

Johnny yakin peluang Nasip dan Yuseril sertai skuad negara

Advertisement
YUSERIL
YUSERIL

KOTA KINABALU: Jurulatih skuad bawah 19 tahun (B19) Tambadau Sabah musim ini, Johnny Dominicus mahu dua pemainnya Mohd Nasip Mohammad Zain dan Yuseril Yusekil terus menggandakan usaha bagi merebut peluang mendapat tempat dalam skuad B19 negara.

Katanya, kejayaan kedua-dua pemain itu melepasi fasa pertama latihan pusat membuktikan mereka telah maju setapak sebagai antara pemain muda berbakat negara.

Nasip dan Yuseril antara empat pemain skuad bawah 19 tahun Tambadau Sabah dalam saingan Piala Belia musim ini yang telah dipanggil menjalani latihan pusat skuad B19 kebangsaan di bawah Brad Maloney di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya pada 6 hingga 26 Julai lalu.

Dua lagi pemain ialah Azlizan Azlan (penjaga gol) dan Mohammad Nazemizam Naslon (pemain tengah) tetapi gagal mendapat tempat ke latihan fasa dua bermula 3 Ogos.

Johnny yakin, kedua-dua anak didiknya itu mampu memberi saingan untuk merebut tempat dalam senarai akhir jika dapat mempamerkan potensi terbaik sebenar mereka.

"Apapun, mereka kena gandakan usaha untuk bersaing dan rebut peluang..mereka kena ada keyakinan diri dan tidak takut atau kurang keistimewaan berbanding pemain lain.

"Saya fikir Nasib ada lebih kelebihan kerana merupakan anggota skuad negara pada Kejohanan B18 AFF tahun lalu manakala ini merupakan panggilan pertama buat Yuseril. Bagaimanapun saya percaya, kedua-dua mereka akan terpilih," katanya.

Mengenai Azlizan dan Nazemizan, Johnny berkata, gagal melepasi fasa pertama bukan bermakna mereka tidak baik tetapi mungkin belum bersedia sepenuhnya lagi.

"Mendapat panggilan skuad kebangsaan itu sudah merupakan satu pencapaian dan kegagalan mendapat tempat ke fasa berikutnya itu seharusnya dijadikan pembakar semangat untuk mereka lebih bekerja keras memajukan diri sebagai pemain bola sepak," katanya.

Sambil itu, Yueseril dan Nasip ketika dihubungi gembira dengan penyenaraian mereka dalam senarai 30 pemain ke fasa dua latihan pusat.

"Saya sangat gembira kerana terpilih dalam senarai 30 pemain ke latihan fasa dua. Bukan mudah kerana terpaksa bersaing dengan pemain-pemain terbaik yang terpilih.

"Ia amat mengujakan apaila terpilih...saya akan terus berusaha sebaik mungkin untuk dapat tempat dalam senarai akhir untuk menjadi sebahagian daripada anggota skuad kebangsaan ke Kejohanan AFF," kata Yuseril.

NASIP
NASIP

Bagi Nasip, ia adalah peluang untuknya terus memahatkan nama dalam senarai skuad B19 negara.

"Apapun, saya tidak mahu memikirkan sangat tentang terpilih atau tidak dalam senarai akhir. Saya hanya fokus untuk memberikan yang terbaik bagi memberi kepercayaan kepada jurulatih.

"Saya akan ccuba yang terbaik...dapat atau tidak (tersenarai dalam senarai akhir), itu belakang cerita...yang penting saya dah buat yang sehabis baik dahulu," kata Nasip.

Daripada 30 pemain, hanya 23 akan disenarai akhir bagi bagi meneruskan latihan fasa tiga pada September.

Latihan pusat itu adlah sebagai persiapan menghadapi Pusingan Akhir kejuaraan B19 AFC 2020 di Uzbekistan pada 14-31 Oktober di mana Malaysia diundi bersaing dalam Kumpulan D bersama pasukan juara edisi 2014, Qatar, Tajikistan dan Yemen.

Malaysia dijdualkan menentang Tajikistan pada 6 Oktober, Qatar (19 Oktober) dan Yemen (22 Oktober). Semua perlawanan berlangsung di stadium AGMK, Olmalik

Selain bersaing untuk mendapat tempat ke kejohanan AFF, kejohanan AFC itu juga dijadikan landasan mendapat tempat ke Piala Dunia B20 di Indonesia pada 2021.

 

  • oleh
  • Advertisement