Anda di sini

PPR di Sarawak: 4,140 unit kediaman siap dibina sehingga 30 Jun lepas

Advertisement
 
 

KUALA LUMPUR: Sebanyak 4,140 unit kediaman di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) telah siap dibina di Sarawak sehingga 30 Jun lepas.

Menurut Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) jumlah itu adalah dari lapan projek berstatus siap iaitu 1,000 unit di PPR Kemena, Bintulu; PPR Batu 5, Kuching (816 unit); PPR Lambir, Miri (505 unit); PPR Seduan, Sibu dan PPR Batu Gong, Siburan masing-masing 500 unit.

“PPR Sg Tengah, Kuching pula mempunyai 439 unit; PPR Sri Wangi, Kuching (200 unit) dan PPR Samarahan 180 unit,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam bagi menjawab soalan Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) berkenaan PPR dan Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) di Sarawak.

Menurut KPKT, selain lapan projek itu, terdapat tiga lagi projek PPR dalam status pembinaan di lokasi lain di Sarawak melibatkan 1,112 unit.

Lokasi itu ialah PPR Petrajaya dengan 208 unit (87 peratus dalam pembinaan); PPR Landeh (443 unit, 60.4 peratus dalam pembinaan); dan PPR Seduan (461 unit, 2.59 peratus dalam pembinaan).

Bagi PPAM pula, satu projek di kawasan Kota Samarahan dengan 300 unit apartmen dijangka siap pada Mac 2021, dan enam lagi projek PPAM di lokasi lain di Sarawak merangkumi 1,493 unit.

“Lokasi itu adalah Muara Tuang (340 unit) dan Miri (Eastwood Valley) (204 unit) yang berstatus siap, Sibu (219 unit) dan Tabuan Jaya (192 unit) berstatus dalam pembinaan, Matang (198 unit) dengan status kelulusan bangunan dan Miri (Jalan Pujut) (340 unit) berstatus perancangan,” kata KPKT.

Berhubung persoalan Rubiah mengenai pembinaan balai bomba di Asajaya, Kota Samarahan, kementerian itu berkata projek yang menelan kos RM7.95 juta itu telah dimulakan pada 25 Nov tahun lepas dan dijangka siap pada 24 Mei 2021.

“Status terkini pembinaan adalah mengikut jadual iaitu enam peratus kemajuan sebenar di tapak. KPKT melalui Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) juga telah mengambil langkah proaktif dengan membina  sebuah balai bomba sementara di kawasan Asajaya dengan kerjasama Pejabat Daerah Asajaya yang telah siap dibina pada 1 Jun 2019 dengan kekuatan 25 anggota,” katanya.

Menurut KPKT, balai bomba sementara itu dilengkapi sebuah jentera Fire Rescue Tender dan sebuah bot bagi tujuan penyelamatan di air.

KPKT akan meneruskan pemantauan projek itu agar dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan bagi membolehkan masyarakat setempat menerima perkhidmatan kebombaan yang lebih cepat dan berkualiti. - Bernama 

Advertisement