Anda di sini

United, Chelsea dapat slot terakhir

Advertisement
 Mason Mount (tengah) diasak pemain Wolverhampton Diogo Jota (kanan) pada perlawanan Liga Perdana Inggeris antara Chelsea dan Wolverhampton Wanderers di Stamford Bridge di London, kelmarin. — Gambar AFP
DIASAK: Mason Mount (tengah) diasak pemain Wolverhampton Diogo Jota (kanan) pada perlawanan Liga Perdana Inggeris antara Chelsea dan Wolverhampton Wanderers di Stamford Bridge di London, kelmarin. — Gambar AFP

LONDON: Manchester United dan Chelsea mengesahkan dua slot terakhir kelayakan ke Liga Juara-Juara musim hadapan sementara Bournemouth dan Watford menjadi mangsa penyingkiran pada hari terakhir musim Liga Perdana Inggeris yang paling lama dalam sejarah pada Ahad.

Liverpool sudah disahkan selaku juara liga bulan lepas tetapi mereka masih bersemangat pada 90 minit terakhir pada musim yang bermula 9 Ogos tahun lepas dan  terhenti selama tiga bulan kerana pandemik koronavirus (COVID-19).

United menamatkan musim di tangga ketiga selepas kemenangan 2-0 ke atas Leicester City sementara Chelsea menamatkan cabaran di tangga keempat dengan menewaskan Wolves, juga 2-0 pada perlawanan di Stamford Bridge.

Di kelompok bawahan, Bournemouth dan Watford mengekori Norwich, yang sudah mengesahkan penyingkiran liga sebelum perlawanan sementara penyokong Aston Villa menarik nafas lega selepas berjaya mengekalkan status dalam Liga Perdana.

Leicester, di tangga kelima, terpaksa akur dengan kelayakan ke Liga Europa musim hadapan dan turut disertai oleh Tottenham Hotspur, yang seri 1-1 dengan Crystal Palace untuk memintas Wolves.

Wolves masih perlu mengharungi dua pusingan kelayakan untuk pertandingan Eropah musim hadapan – sama ada ke Liga Juara-Juara dengan memenangi Liga Europa pada bulan hadapan atau layak ke Liga Europa jika Chelsea menewaskan Arsenal di final Piala FA Inggeris hujung minggu ini.

Chelsea hanya memerlukan keputusan seri di Stamford Bridge untuk mengesahkan empat tangga teratas liga tetapi mengutip tiga mata penuh dengan  gol dalam separuh masa pertama, menerusi gol Mason Mount dan Olivier Giroud.

Empat tangga teratas liga dan final Piala FA pada musim pertama adalah satu kejayaan besar buat Frank Lampard pada musim pertama membimbing kelab Chelsea yang digantung dari membuat pembelian pemain pada musim panas tahun lepas dan kehilangan pemain bintang Eden Hazard yang berpindah ke Real Madrid.

“Ada banyak yang tidak diketahui apabila saya tiba, mampukah kami melangkah ke hadapan tanpa Eden Hazard?” kata Lampard ketika memberitahu penyiaran Sky Sports.

“Kami tahu kami kehilangan pemain yang sangat penting. Kami mempunyai semangat sebenar dalam pasukan sekarang dan ia adalah usaha sebenar pasukan.

“Saya dan kakitangan saya mahu meningkat setiap masa – cabaran sekarang ialah untuk melihat apa lagi yang boleh kami lakukan musim hadapan.”

United, di mana prestasi mereka menurun dalam beberapa minggu selepas kembali bersaing kelayakan ke Liga Juara-Juara, terikat tanpa jaringan pada masa rehat perlawanan di Stadium King Power.

Tetapi mereka akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-71 apabila Bruno Fernandes menjaringkan penalti selepas Anthony Martial dikasari dalam  kotak penalti sebelum Jesse Lingard melengkapkan jaringan pada lewat permainan.

Keputusan itu satu kelegaan buat pengurus kelab, Ole Gunnar Solskjaer selepas pasukannya ketinggalan 14 mata di belakang Leicester pada Tahun Baharu tetapi ia satu kekecewaan besar buat rakan sejawatannya di Leicester, Brendan Rodgers, selepas pasukannya berada di empat tangga teratas liga hampir sepanjang musim.

“Saya berasa gembira,” kata Solskjaer. “Kami melangkah bergaya selepas ketinggalan jauh di belakang mereka dan berjaya memintas pada akhir musim. Kami menunjukkan kami mempunyai konsistensi, mentaliti yang betul. Kami membina sebuah kumpulan dan satu budaya prestasi di sini yang boleh kami banggakan.”

Dua gol dari Pierre-Emerick Aubameyang dan gol dari Kieran Tierney memastikan Watford, yang memecat pengurusnya, Nigel Pearson awal bulan ini, satu tugas mustahil di Arsenal.

Penalti Troy Deeney  dan gol Danny Welbeck memberikan mereka harapan tetapi Watford disahkan tersingkir dari Liga Perdana selepas lima tahun apabila tewas 2-3.

“Ia menggambarkan keseluruhan musim,” kata Deeney. “Tidak cukup bagus. Mengecewakan bagi mereka yang bekerja-keras di sebalik tabir dan kami bersimpati dengan mereka.”

Bournemouth menewaskan Everton 3-1 di Goodison Park tetapi mengharapkan West Ham United menewaskan Aston Villa untuk mengelak penyingkiran.

Namun West Ham dan Villa seri 1-1 untuk mengesahkan penyingkiran Bournemouth selepas lima musim.

“Ia sangat mengecewakan – kami sentiasa percaya kami mampu mengelak pada saat akhir,” kata pengurus Bournemouth, Eddie Howe.

Gol awal Harry Kane meletakkan Tottenham di hadapan ketika menentang Crystal Palace tetapi Palace mengikat kedudukan pada awal separuh masa kedua  menerusi gol Jeffrey Schlupp namun satu mata sudah memadai buat Spurs untuk menamatkan musim di tangga keenam.

Liverpool menewaskan Newcastle 3-1 untuk menamatkan musim dengan 99 mata – jumlah mata kedua tertinggi dalam sejarah bola sepak elit Inggeris, di belakang Manchester City yang mencipta rekod 100 mata pada musim 2017/2018.

City menamatkan musim dengan bergaya dan menjaringkan 102 gol sepanjang musim ini apabila membelasah Norwich 5-0 menerusi dua gol Kevin De Bruyne dan menyamai rekod Thierry Henry yang melakukan 20 umpanan gol pada satu musim.

Pada perlawanan lain, Brighton menewaskan Burnley 2-1 dan Southampton menewaskan Sheffield United 3-1. — AFP

Advertisement