Anda di sini

Tiga rumah terbakar, 22 penghuni hilang tempat tinggal di Beladin

Advertisement
Api marak memusnahkan tiga buah rumah dalam kejadian di Kampung Hulu, Beladin, malam tadi. - Gambar ihsan bomba
Api marak memusnahkan tiga buah rumah dalam kejadian di Kampung Hulu, Beladin, malam tadi. - Gambar ihsan bomba

PUSA: Seramai 22 penghuni hilang tempat tinggal apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran yang melibatkan tiga buah rumah di Kampung Hulu, Beladin, di sini malam Ahad. 

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu sekitar jam 8.52 malam sebelum menggerakkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok ke lokasi dan dibantu BBP Betong. 

"Maklumat awal pemanggil memberitahu kebakaran melibatkan rumah kediaman jenis struktur tidak kekal sedang terbakar dan mula merebak ke rumah bersebelahan. 

"Setibanya di lokasi, komander operasi melaporkan kebakaran membabitkan tiga buah rumah jenis tidak kekal telah hampir musnah 100 peratus dan semasa operasi pemadaman pihak bomba mengalami kesukaran untuk mendapatkan air dari pili bomba," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, anggaran jarak balai ke lokasi kejadian adalah sejauh 53 kilometer dan mengambil masa lebih kurang  1 jam 16 minit. 

Malah, tambahnya, Bomba juga perlu menggunakan perkhidmatan feri Pusa untuk menuju ke Beladin selain menghadapi kesukaran untuk memasuki kawasan tersebut kerana laluan sempit.

Bagaimanapun, katanya, kebakaran tersebut berjaya dikawal pada 10.28 malam.

Tambahnya, kebakaran itu tidak melibatkan sebarang kecederaan. 

"Operasi pemadaman tamat pada jam 1.30 pagi dan punca kebakaran masih dalam siasatan," ujarnya. 

Mengulas lanjut mengenai penghuni tiga rumah terbabit yang masing-masing musnah 100 peratus, katanya, rumah pertama didiami dua penghuni, seorang wanita dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan.

Rumah kedua pula didiami 12 penghuni terdiri lima lelaki dewasa, tiga wanita dewasa, dua kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan.

Sementara itu, rumah ketiga dihuni lapan orang iaitu tiga lelaki dewasa, empat wanita dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki.

Agensi lain yang terlibat dalam operasi itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). 

Advertisement