Anda di sini

PSB alukan penyertaan bekas pemimpin akar umbi PBB

Advertisement
 Abu Bakar (depan, kiri) menyerahkan borang keahlian baharu untuk PSB Cawangan Lambir kepada Wan Abdillah yang mewakili presiden parti sambil disaksikan yang lain.
SERAH: Abu Bakar (depan, kiri) menyerahkan borang keahlian baharu untuk PSB Cawangan Lambir kepada Wan Abdillah yang mewakili presiden parti sambil disaksikan yang lain.

MIRI: Parti Sarawak Bersatu (PSB) mengalu-alukan beberapa bekas pemimpin akar umbi dan anggota Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) meninggalkan parti itu menyertai PSB dalam perjuangan membawa perubahan politik Sarawak.

Presidennya Dato Sri Wong Soon Koh berkata beliau gembira menyaksikan kesungguhan dan semangat ahli-ahli baharu menyertai PSB yang merupakan bekas pemimpin dan ahli PBB Pujut memutuskan keluar parti itu dan bersama PSB.

“Bagi pihak PSB, saya ingin mengucapkan selamat datang kepada Abu Bakar Amit (bekas ketua cabang PBB Pujut), Ishak Ahmad (bekas ketua penerangan PBB Pujut), Lila Mohamad (bekas ketua wanita PBB Pujut) dan Jekaria Abdul Para (bekas anggota PBB) serta lebih daripada 300 pengikut mereka menyertai PSB,” katanya.

Wong berkata demikian dalam ucapannya pada majlis perasmian jawatankuasa protem dan penyerahan borang permohonan keahlian PSB Cawangan Lambir pada satu majlis di sini semalam.

Teks ucapannya dibacakan oleh calon PSB Lingga Datuk Wan Abdillah Edruce Abdul Rahman.

“Apa yang kita maklum ialah mereka adalah pemimpin dan anggota PBB cawangan Pujut meninggalkan parti itu untuk menyertai PSB,” katanya.

Beliau menekankan bahawa PSB adalah parti pelbagai kaum dengan sokongan dari seluruh Sarawak dengan kaum Melayu, Melanau, Iban, Bidayuh, Orang Ulu, Cina dan kaum lain bekerjasama membentuk parti itu.

“Seperti kita lihat, PSB menarik semua rakyat Sarawak. Sebabnya adalah PSB benar-benar berbilang kaum tidak seperti parti-parti dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengaku berbilang kaum tetapi tidak seperti diperkatakan,” katanya.

Beliau menambah, alasan lain mengapa PSB menarik minat rakyat Sarawak adalah kerana parti itu adalah parti benar-benar berpangkalan di Sarawak, tanpa hubungan dengan mana-mana pihak atau parti lain di Semenanjung Malaysia.

Menurut Wong, PSB tidak seperti GPS berganding bahu dengan UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang menyebabkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dipilih rakyat dan membenarkan Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan pintu belakang.

Sebab lain, katanya ialah kegagalan kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika itu dan GPS membangunkan negeri dan rakyatnya.

“BN dan GPS memerintah Sarawak hampir 60 tahun namun setelah bergabung dengan Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu membentuk Malaysia, perhatikan pembangunan Singapura (kemudian keluar Malaysia) dan bandingkan dengan Sarawak walaupun terdapat banyak minyak, gas dan kayu di Sarawak.

“Perbezaannya terletak pada kenyataan Singapura memiliki pemerintahan baik. Kerajaan BN dan GPS gagal membawa pembangunan yang berhak dimiliki rakyat Sarawak. Sudah sampai waktunya pertukaran pemerintahan. Sudah tiba masanya bagi rakyat memilih perubahan,” jelasnya.

Wong berkata, PSB yakin dalam masa tiga tahun setelah membentuk kerajaan negeri berikutnya rakyat Sarawak dapat merasakan perbezaan.

Beliau mengulangi bahawa PSB menjadi kerajaan dipilih rakyat dan untuk rakyat dan memberi manfaat kepada majoriti rakyat.

“Oleh itu, saya mengalu-alukan rakan baharu kami meninggalkan PBB Pujut untuk bergabung dengan PSB dalam perjuangan membawa perubahan kepada Sarawak,” katanya.

Terdahulu, Abu Bakar yang juga bekas pengerusi PBB Pujut dipilih ketua protem PSB Lambir sementara Ishak Ahmad (bekas ketua Penerangan PBB Pujut) sebagai timbalan pengerusi, Lila Mohamad (bekas ketua wanita PBB Pujut) sebagai naib pengerusi dan Corriena Sarkawi sebagai setiausaha cawangan.

PSB Lambir yang baharu dibentuk juga berjaya merekrut lebih 300 ahli.

  • oleh
  • Advertisement