Anda di sini

Pemimpin kampung, tuai rumah haruslah cakna masalah dadah

Advertisement
 Mohamad Razi ketika merasmikan program tersebut bersama penduduk kampung terbabit.
PERANGI DADAH: Mohamad Razi ketika merasmikan program tersebut bersama penduduk kampung terbabit.

BETONG: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) berharap pemimpin kampung atau tuai rumah cakna terhadap masalah penagihan dadah dalam kalangan penduduk.

Ketua Daerah AADK Daerah Betong Azimah Marsid menggesa penglibatan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) setiap kampung dan rumah panjang membendung pembabitan penduduk dalam penyalahgunaan dadah.

“Jika perkara itu berlaku dalam kalangan masyarakat ia bukan hanya terkesan terhadap individu penagih dan keluarga tetapi seluruh komuniti.

“Ini kerana sekiranya masalah penagihan dadah tidak dibendung masalah-masalah jenayah lain seperti kecurian dan berkaitan juga berlaku,” katanya pada Program Family On Alert (FOA) di Dewan Masyarakat Kampung Balingan dekat sini kelmarin.

Program bertemakan ‘Pencegahan Bermula Dari Rumah’ anjuran bersama JKKK Kampung Balingan dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas Mohammad Razi Sitam.  

Peserta diberi pendedahan bahaya penyalahgunaan dadah dan peranan ibu bapa amat penting dalam mencegah penglibatan anak-anak dengan aktiviti tersebut.  

“Program itu diselitkan dengan pertandingan mewarna untuk kanak-kanak bermesejkan ‘Katakan Tidak Kepada Dadah’ dan beberapa aktiviti lain selain pameran antidadah.  

“Ribuan terima kasih diucapkan kepada seluruh penduduk Kampung Balingan atas komitmen dan kerjasama diberikan pada program berkenaan,” jelasnya.

Katanya, idea dan pandangan semua pihak amat dialukan-alukan dalam memerangi dadah habis-habisan.

Turut hadir Penghulu Kampung Spaoh Allem Ahi dan Ketua Kampung Balingan Taha Zakaria.

Advertisement