Anda di sini

PSB tekad berjuang untuk masyarakat adil dan saksama

Advertisement
 Baru (memegang bendera PSB) bersama para penyokongnya di Pusat Khidmatnya di Lawas, semalam.
PARTI UNTUK SEMUA: Baru (memegang bendera PSB) bersama para penyokongnya di Pusat Khidmatnya di Lawas, semalam.

LAWAS: Parti Sarawak Bersatu (PSB) merupakan parti tempatan yang tekad berjuang untuk masyarakat yang adil dan saksama tanpa mengira bangsa dan agama untuk Sarawak dan Malaysia.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’ Kelalan Baru Bian berkata, perjuangan PSB meletakkan tiga kepentingan asas untuk meletakkan Sarawak pada tahap kesatuan dan hubungan antara kaum, infrastruktur dan pendidikan lebih tinggi.

“Dalam kesatuan kaum, saya percaya sebuah parti politik berbilang kaum seperti PSB akan bertekad dan terus berjuang untuk masyarakat yang adil dan saksama tanpa mengira bangsa dan agama bukan sahaja untuk Sarawak tetapi juga negara Malaysia,” ujarnya melalui kenyataan media sempena Hari Sarawak dan pengibaran bendera yang diadakan di Pusat Khidmatnya di sini, semalam.

Baru yang juga Ahli Parlimen Selangau berkata lagi, infrastruktur dan peluang ekonomi yang dirancang dan dibina dengan baik akan membawa kepada kemajuan aktiviti pengeluaran pertanian bagi membolehkan masyarakat luar bandar memaksimumkan tanah mereka untuk tujuan komersial dan pada masa sama, mengekalkan adat resam dan budaya.

Beliau turut mengulas keadaan sekolah daif di luar bandar negeri ini berbanding sekolah-sekolah di Semenanjung.

“Ini adalah masalah utama yang dihadapi sejak zaman pemerintahan Brooke dalam memenuhi keperluan anak-anak muda di luar bandar.

“Saya percaya untuk maju sebagai negara yang sedang membangun, pelaburan dalam pendidikan harus diberi keutamaan dan memastikan peruntukan yang mencukupi dibuat,” katanya lagi.

Baru menjelaskan sumber semula jadi, ketidakadilan dan ketidakseimbangan pekerjaan turut berlaku dalam kalangan pegawai awam sama ada di peringkat persekutuan mahupun negeri.

Tambah beliau lagi, faktor lain yang perlu ditangani dan diberi perhatian serius oleh kerajaan sekarang ialah isu dan wujudnya amalan rasuah di negara ini.

“Menurut tinjauan yang dilakukan oleh Institut Integriti Malaysia pada 2017 didapati 35.8 peratus menerima hadiah berupa wang atau barang atau perkhidmatan sebagai pertukaran untuk perkhidmatan yang diberikan yang merosakkan ekonomi dan keselamatan negara,” katanya lagi.

Mengulas mengenai Perjanjian Malaysia 1963, Baru berkata beliau secara konsisten memperjuangkan isu tersebut untuk diperakui dengan menyemak semula Artikel 1(2) Perlembagaan Persekutuan ke perjanjian dan tuntutan asal.

Dalan pada itu, beliau memberitahu akan terus memperjuangkan, meneliti dan mengadaptasi agenda utama dalam memperjuangkan Hak Adat Anak Negeri serta tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) seperti yang diamalkan dan diperjuangkannya sebagai  peguam dalam menangani ratusan kes tanah termasuk tanah NCR keluarganya sendiri.

  • oleh
  • Advertisement