Anda di sini

Pendidikan berkualiti susulan usaha bina sekolah antarabangsa di Lambir

Advertisement
 Ling (depan, dua kiri) menyampaikan cenderamata tanda kenangan kepada kepada Lukanisman, sambil disaksikan yang lain.
UNTUKMU: Ling (depan, dua kiri) menyampaikan cenderamata tanda kenangan kepada kepada Lukanisman, sambil disaksikan yang lain.

MIRI: Penduduk Sibuti bakal mendapat pendidikan yang berkualiti untuk anak-anak mereka berikutan usaha kerajaan negeri membina sekolah antarabangsa di kawasan Lambir.

Menyambut baik projek yang diluluskan kerajaan negeri itu, Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni memberitahu beliau gembira kerana kawasannya termasuk dalam lima kawasan yang akan dibangunkan dengan sekolah antarabangsa di seluruh negeri.

“Kerajaan negeri sudah mengenal pasti sebidang tanah untuk projek sekolah itu di daerah Beraya di Lambir.

“Projek sekolah ini sebenarnya sudah dibincangkan sejak setahun lalu dan saya sangat gembira kerana salah satu daripada lima sekolah antarabangsa yang dicadang dibina di Sarawak ialah di konstituensi Parlimen Sibuti,” katanya.

Beliau menambah apabila siap kelak, sekolah ini akan memberi inspirasi dan peluang kepada pelajar-pelajar luar bandar yang cerdas untuk mendaftar ke sekolah menengah milik kerajaan yang akan menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya sebagai bahasa pengantar.

Beliau memberitahu demikian kepada pemberita selepas melawat Tadika Bandar Peranginan di Jalan Sim Kheng Hong di Jalan Bakam, dekat sini, semalam.

Selain di kawasan Beraya, empat lagi projek sekolah antarabangsa ini, akan dibangunkan di Batu 12 di Kuching, Bintulu, Sibu dan Kota Samarahan.

Sementara itu, Lukanisman memberitahu beliau bangga dengan usaha pihak pengurusan Tadika Bandar Peranginan, yang berusaha menjadikan prasekolah itu sebagai pusat pendidikan awal kanak-kanak yang terbaik dengan bahasa pengantarnya dalam bahasa Inggeris, sesuai dengan slogannya, ‘Prasekolah Terbaik.’

Selain menguasai bahasa kebangsaan, beliau turut memberikan sokongan penuh terhadap usaha menekankan pentingnya bahasa Inggeris dalam pendidikan awal kanak-kanak.

Sempena lawatannya iuga, Lukanisman, telah mengumumkan pemberian bantuan kerajaan di bawah peruntukan projek kecil luar bandar (MRP) berjumlah RM20,000 untuk tadika tersebut.

Turut hadir ialah Naib Pengerusi Persatuan Foochow Miri Datuk James Ling dan lembaga jawatankuasa pengurusan tadika tersebut.

Advertisement