Anda di sini

Konsulat AS di Chengdu diarah tutup

Advertisement
 Seorang pekerja menanggalkan lambang negara AS di konsulat AS di Chengdu, wilayah Sichuan di China, semalam. — Gambar AFP
TANGGAL: Seorang pekerja menanggalkan lambang negara AS di konsulat AS di Chengdu, wilayah Sichuan di China, semalam. — Gambar AFP

CHENGDU: Kakitangan di konsulat AS di bandar Chengdu, China sedang sibuk mengemas barang-barang dan mengalihkan lambang negara Amerika Syarikat dari bangunan tersebut semalam, sehari selepas Beijing mengarahkan penutupan dalam satu perbalahan diplomatik timbal balik dengan Washington.

Hubungan AS-China bergolak pada minggu ini apabila konsulat di Chengdu telah dimaklumkan agar ditutup sebagai tindakan balas bagi penutupan secara paksa ke atas konsulat Beijing di Houston, Texas, dengan kedua-dua pihak menyatakan pihak yang lain membahayakan keselamatan negara.

Tarikh akhir bagi pihak Amerika untuk meninggalkan Chengdu masih belum jelas namun wartawan AFP melihat beberapa orang tukang cuci membawa beberapa buah beg sampah hitam besar dari konsulat semalam, salah satu daripadanya telah terkoyak dan kelihatan mengandungi keratan kertas.

Sekurang-kurangnya 10 buah bungkusan telah dikeluarkan dari bangunan pada awal pagi.

Seorang pekerja yang membawa sebuah kren kecil mengalihkan lambang negara AS dari depan konsulat, hanya meninggalkan bendera Amerika yang dikibarkan di kawasan yang tidak bertanda sekarang.

Kakitangan lain dilihat menolak troli di sekitar bahagian dalam, seorang membawa sebuah tong besi besar yang kosong, sementara beberapa orang lagi membawa bagasi.

Beijing menyatakan penutupan konsulat Chengdu sebagai satu respons yang sah dari segi undang-undang dan perlu dilakukan terhadap langkah-langkah yang tidak munasabah oleh Amerika Syarikat, dan telah menyatakan bahawa kakitangan di pejabat diplomatik membahayakan keselamatan dan kepentingan China.

Sementara itu beberapa pegawai Washington menyatakan terdapat usaha yang tidak dapat diterima oleh konsulat China di Houston untuk mencuri rahsia korporat AS serta hak milik penyelidikan saintifik dan perubatan.

Diplomat China yang terakhir meninggalkan konsulat Houston pada Jumaat ketika satu tarikh tamat 72 jam untuk menutup pejabat telah berakhir.

Para pegawai di sana dilihat memunggah bungkusan besar dokumen dan barang-barang lain ke dalam trak dan membuang sebahagian daripadanya ke dalam tong sampah.

Ketegangan telah meningkat antara kedua-dua kuasa ini bagi beberapa isu termasuk dagangan, cara China menguruskan COVID-19 dan satu undang-undang keselamatan yang baharu untuk Hong Kong, dengan AS pada minggu ini memberikan amaran bagi sebuah ‘tirani baharu’ dari China. — AFP

Advertisement