Anda di sini

JKKK disaran guna nama kawasan untuk elak kerap tukar nama: Sikie

Advertisement
 Tuai Rumah Serai (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Sikie sejurus merasmikan jalan simen dan Biro Wanita JKKK Rumah Serai, kelmarin.
PENGHARGAAN: Tuai Rumah Serai (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Sikie sejurus merasmikan jalan simen dan Biro Wanita JKKK Rumah Serai, kelmarin.

TATAU: Jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) di setiap rumah panjang atau kampung disaran menggunakan nama ‘menua’ atau kawasan penempatan masing-masing bagi mengelakkan pertukaran nama jawatankuasa secara kerap.

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang dan Adat Bumiputera Sarawak) Datuk John Sikie Tayai berkata, nama JKKK harus diperhalusi dari masa ke masa bagi mengukuhkan lagi institusi itu di semua rumah panjang atau kampung di negeri ini.

“Sebagai contoh JKKK Sungai Sepulau Muput, sekiranya berlaku kematian atau pertukaran tuai rumah, nama jawatankuasa itu akan kekal dan akaun bersama tidak perlu diubah kerana ia adalah nama kawasan dan tidak melibatkan nama tuai rumah,” ujarnya.

Sikie berkata demikian semasa merasmikan jalan simen dan Biro Wanita JKKK Rumah Serai, Sungai Sepulau Muput Kanan, Tatau kelmarin.

Pada masa sama katanya, JKKK di setiap rumah panjang dilarang melantik dalam kalangan ahli keluarga terutama jawatan pengerusi, setiausaha dan bendahari bagi mengelakkan berlakunya penyelewengan wang akaun bersama.

“Sebaik-baiknya, individu yang dilantik bagi memegang jawatan dalam JKKK haruslah melibatkan penduduk lain dalam rumah panjang dan bukannya dimonopoli oleh keluarga yang sama,” tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Sikie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus mengumumkan bantuan geran projek kecil luar bandar (MRP) sebanyak RM36,000 kepada JKKK dan RM4,000 kepada Biro Wanita Rumah Serai.

Turut hadir Pemanca Gerosen Jubin, Penghulu Sanok Magai, Penghulu Allister Alli Digat, Pengulu Micheal Agul dan Penghulu Lim Tchia Hong.

Advertisement